Anggota polis merokok di kedai makan, biar KKM ambil tindakan

0
1

ISU membabitkan beberapa anggota polis beruniform yang merokok di sebuah gerai makan di Pasir Puteh, Ipoh seperti ditularkan di media sosial hari ini dirujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan siasatan susulan. 
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamed Nordin Abdullah, berkata isu itu ditularkan di media sosial oleh seorang pengguna Facebook ‘Araa Qisha’ dan ia turut dikongsi di Facebook ‘Public Health Malaysia’ sehingga mendapat perhatian umum.
Menurutnya, semakan pihaknya mendapati individu-individu yang terpapar dalam gambar yang ditularkan itu adalah anggota Unit Rondaan Bermitosikal (URB), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh. 
“Kesemua anggota terbabit sudah selesai tugas (off duty) ketika kejadian. 
“Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pasir Puteh mengenai perkara yang tular itu untuk dirujuk kepada KKM bagi tindakan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 
Beliau berkata, selain merujuk kepada KKM tindakan siasatan tatatertib juga telah diambil terhadap anggota-anggota berkenaan bagi mengenal pasti sama ada berlaku sebarang pelanggaran tatatertib atau kod etika polis. 
“Saya ingin menegaskan bahawa polis sentiasa menjalankan amanah dengan adil, telus dan profesional yang mana anggota pasukan juga tertakluk kepada pematuhan undang-undang yang sedang dikuatkuasakan di negara ini. 
“Polis Daerah Ipoh mengalu-alukan sebarang maklum balas tentang kualiti perkhidmatan polis daripada masyarakat umum, namun ia perlu disalurkan melalui saluran yang betul iaitu Pusat Kawalan IPD Ipoh di talian 05-2542222 atau emel [email protected] dan bukan sewenang-wenangnya melalui media sosial,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here