Jangan terus politikkan isu air Kelantan – SPAN

0
1

SURUHANJAYA Perkhidmatan Air Negara (SPAN) optimis isu bekalan air di Kelantan mampu diselesaikan apabila fasa menaik taraf perkhidmatan bekalan air dilakukan secara berperingkat, merangkumi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang.

Ahli Suruhanjaya SPAN, Shahir Adnan, berkata langkah yang diambil bersifat secara keseluruhan dengan menyelesaikan isu pengurusan dan infrastruktur air untuk menampung keperluan bekalan air di Kelantan untuk tempoh masa 30 hingga 40 tahun akan datang.

Beliau berkata, antara inisiatif Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) adalah membina Loji Rawatan Air (LRA) Kg Telok, Kota Bharu, dengan anggaran pembekalan air sebanyak 30 juta liter air sehari kepada rakyat Kelantan.

“Beberapa projek LRA akan disiapkan pada tahun ini, termasuklah pembinaan telaga-telaga dan pembaikian paip air terawat demi menjamin kemudahan air terawat diberikan kepada rakyat Kelantan.

“Ini bermakna isu air di Kelantan bukan sahaja bakal diselesaikan dalam tempoh jangka pendek, malah optimis akan diselesaikan secara keseluruhan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menyentuh mengenai isu air di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ), belaiu berkata AKSB sedang membina ‘dedicated pipe’ yang dijangka siap pada Julai 2021.

“Demi menjamin kesejahteraan rakyat dan pesakit di HRPZ II, pihak AKSB membekalkan air melalui lori tangki sebanyak 6 trip sehari dengan jumlah bekalan sebanyak 48 meter padu sehari,” katanya.

Dalam pada itu, Shahir berkata, isu air di Kelantan masih menjadi modal politik pihak tertentu tanpa melihat kepada fakta dan asas yang tepat.

“Terbaru, seorang ketua pemuda pembangkang di Kelantan masih bersandiwara memainkan isu air di Kelantan seolah-olah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan tidak cakna kepada rakyat Kelantan itu sendiri.

“Pandangan yang dilontarkan oleh ketua pemuda pembangkang itu sememangnya dangkal dan tidak masuk akal, Rakyat Kelantan akhirnya tidak lagi dianaktirikan di bawah dasar prihatin dan keterbukaan Kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya. – Malaysipost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/06/kelantan-rancang-guna-air-sungai-salur-kepada-rakyat/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here