Tokoh UCSI meninggal dunia

0
1

UNIVERSITI UCSI menyifatkan ‘pemergian’ Prof Datuk Dr Khalid Yusoff sebagai satu kehilangan besar kepada warganya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Kumpulan UCSI, Datuk Peter Ng menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang tidak pernah berhenti meningkatkan martabat UCSI dalam dunia akademik negara mahu pun diperingkat antarabangsa.

“Hari ini kita mengucapkan selamat tinggal kepada Prof Khalid, Naib Canselor dan Presiden Universiti UCSI. Saya, seperti yang lain di UCSI, sedih untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rakan yang saya belajar banyak dengannya sebelum ini.

“Beliau telah memberi kesan mendalam terhadap pengalaman pelajar UCSI. Beliau sendiri menguruskan kerjasama dengan Universiti Harvard yang memperkasakan pelajar perubatan kita dengan peluang mengikuti program penyelidikan berimpak tinggi di universiti terbaik dunia.

“Mari kita mengenang beliau atas semua yang beliau perjuangkan dan semoga kita mencontohi komitmen beliau dalam mencapai kecemerlangan serta fokus yang tidak goyah dalam mencipta dunia yang lebih baik. Semoga kita sentiasa mengingat beliau dalam apa juga yang kita lakukan,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Peter berkata, Allahyarham Prof Khalid telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kedudukan universiti sejak beliau menerajui UCSI pada tahun 2013.

“Hasilnya, UCSI menerima pelbagai pengiktirafan akademik. Di bawah kepimpinannya, UCSI muncul sebagai universiti swasta terbaik di Malaysia untuk dua tahun berturut-turut bagi QS World University Rankings 2019 dan 2020.

“Malah pencapaian bagi Penarafan Bersepadu Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Setara) 2018/2019, UCSI berjaya mencapai 5 bintang sebagai Universiti Matang (Mature University).

“Sebagai tokoh berpengalaman dalam industri, beliau turut membawa UCSI ke persada dunia apabila berjaya mewujudkan kerjasama strategik dengan universiti dunia termasuk Harvard,” katanya.

Prof Khalid, 66, menghembuskan nafasnya di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia, tengah hari tadi.

Allahyarham meninggalkan isteri, Prof Datin Paduka Dr Khatijah Mohd Yusoff. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here