ESOK sesi persekolahan sekolah menengah secara bersemuka untuk tahun 2021 akan bermula buat pertama kalinya.
Jadi tidak hairanlah kedai gunting rambut menjadi tumpuan pelajar lelaki minggu ini dan potongan rambut ala ‘mid fade’ dikatakan menjadi trend dan pilihan kebanyakan mereka.
Rata-rata mereka memilih untuk mengayakan stail potongan rambut berkenaan yang dikatakan sudah popular sejak tahun 1960-an lagi dan kini telahpun diolah mengikut peredaran masa oleh pengusaha premis gunting rambut.
Memetik laporan Kosmo, Pengusaha MJ’s Barbershop, Sarizal Hakeb, 48, berkata, dia tidak menang tangan menerima kehadiran pelanggan yang kebanyakannya adalah pelajar sejak semalam.
Menurutnya, hampir 80 peratus pelanggan terdiri dalam kalangan pelajar lelaki memilih gaya rambut jenis ‘mid fade’ iaitu potongan nipis di belakang hingga bawah serta tebal pada bahagian sisi.
“Trend rambut ini mulai popular sejak tahun lalu dan telah menjadi pilihan ramai golongan belia terutama pelajar. Mereka mengatakan lebih selesa dan kelihatan tampak kemas apabila menggayakan potongan rambut sebegini.
“Mereka (pelanggan) sanggup tunggu lebih awal sebelum kedai dibuka awal setengah jam pada pukul 11.30 sejak semalam lagi. Mereka memilih memotong rambut saat akhir sesi persekolahan menengah bermula esok,” katanya, hari ini.
Sarizal menetapkan harga bagi potongan rambut jenis ‘mid fade’ adalah RM20 seorang.
Dalam pada itu, Sarizal memberitahu, dia kini mula menarik nafas lega apabila kerajaan membenarkan semula premis gunting rambut beroperasi.
“Setakat ini, belum ada peluang untuk menabung atau menyimpan wang simpanan daripada hasil pendapatan bulanan disebabkan perlu menjelaskan tunggakan sewa dua premis iaitu di Bukit Gedung dan Bukit Jambul serta bil elektrik dan kos pengurusan.
“Bagaimanapun, saya berasa lega kerana perniagaan sepenuh masa ini masih mendapat sambutan menggalakan daripada pelanggan tetap dan baharu,” ujarnya.
Terdahulu, sesi persekolahan secara bersemuka dilakukan berperingkat dengan murid sekolah rendah Tahun Tiga hingga Enam telah hadir ke sekolah pada 8 Mac lalu, manakala murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua pula bermula pada 1 Mac.
Bagi pelajar sekolah menengah Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu), mereka akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April, manakala sekolah di negeri-negeri lain akan bermula pada 5 April ini. – Malaysiapost
Done

