PKR tidak bercadang untuk mempertikaikan keabsahan jawatan Perdana Menteri di mahkamah susulan Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa tidak menggunakan nama sebenar.
Sebaliknya, menurut Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil, perkara itu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat sejauh mana dakwaan itu berasas dan boleh memberi kesan kepada kestabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada hari ini.
“Itu saya serah kepada mahkamah, bagi saya sekarang baru tahu kesan apabila beliau menandatangani pada waktu itu dengan nama glamour, bukan nama sebenar.
“Ramai yang bertanya sewaktu angkat sumpah, adakah beliau menggunakan nama betul atau pun nama glamour atau pun macam mana.
“Itu saya serah kepada pihak berkuasa untuk teliti,” katanya kepada media seperti dilaporkan Malaysiagazette, hari ini.
Pada 2 April lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan perintah penahanan yang ditandatangani Muhyiddin Yassin tahun lalu yang ketika itu merupakan Menteri Dalam Negeri.
Ini kerana menteri berkenaan menandatanganinya menggunakan nama glamor Muhyiddin Mohd Yassin, bukan nama dalam kad pengenalan (MyKad), Mahiaddin Md Yasin.
Peguam, Danial Amir Hamzah berkata, pesuruhjaya kehakiman Norsharidah Awang Jumaat lalu membenarkan permohonan habeas corpus oleh Sabahan Awang Sari Lasikan.
Danial hadir bersama peguam, Zafran Zafri Mohd Zaini mewakili Awang seorang pekerja am yang ditahan di bawah perintah yang ditandatangani Muhyiddin pada 10 Mac tahun lalu. – Malaysiapost

