SEGERAKAN pelaksanaan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 berhubung kelayakan mengundi pada usia 18 tahun (Undi18)
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata gesaan meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempercepatkan pelaksanaan Undi18 adalah sebagai mengiktiraf peranan dan pembabitan golongan muda dalam politik.
“Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu menegaskan bahawa parti mengiktiraf peranan dan pembabitan aktif anak muda dalam bidang politik serta aktiviti kemasyarakatan,” katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat MPT semalam.
Sebelum ini, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh memaklumkan pendaftaran pemilih automatik dan mengundi pada usia 18 tahun (Undi 18) dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022.
Abdul Ghani dilapor berkata, ia selepas pihaknya menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR.
Sementara itu, Bersatu menyatakan kesediaan membantu rakan politik lain seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang setia menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya DUN Sarawak.
Menteri Dalam Neger itu berkata, MPT Bersatu mengulangi komitmennya untuk memperkukuhkan kerjasama antara parti anggota Perikatan Nasional merangkumi PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
Dalam mesyuarat semalam juga, MPT memutuskan untuk menyegerakan pelantikan Ketua Bahagian Ahli Bersekutu dalam masa terdekat bagi memperkasakan dan meningkatkan pembabitan mereka di seluruh negara.
Ahli bersekutu merujuk kepada ahli Bersatu yang bukan Bumiputera. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/02/anjur-bersih-6-jika-kerajaan-terus-nafi-hak-undi18-pemuda-ph/

