Nurul Huda Abhar
SETELAH sekian lama menyepi, penyanyi Deja Moss akan mengubati kerinduan peminat dengan penampilan dua buah buku hasil nukilannya sendiri tidak lama lagi.
Deja atau nama sebenar Sharifah Hadijah Wan Moss berkata, buku pertama yang akan menemui peminat adalah kisah perjalanan hidupnya sepanjang bergelar anak seni, dan seterusnya akan tampil dengan naskah resepi masakan.

Menurut Deja, penghasilan buku berkenaan kisah hidupnya mengambil masa agak lama untuk disiapkan kerana koleksi-koleksi gambar dalam simpanan sebelum ini telah hilang.
“Buku kisah hidup saya ini termasuklah perjalanan saya masa mula-mula berkecimpung dalam dunia nyanyian. Bagaimana saya mula dari bawah sehinggalah sekarang.
“Juga ada saya ceritakan berkenaan kisah percintaan saya. Tentang perkahwinan dan juga bagaimana rumah tangga yang dibina musnah.

“Saya ceritakan bagaimana pada mulanya saya hidup dalam kebencian dan banyak salahkan orang lain. Dari situ saya dapat kekuatan, dan cuba bangkit.. Alhamdulillah saya jumpa suami saya sekarang dan itu juga saya ceritakan dalam buku,” katanya kepada Malaysiapost.
Deja ditemui ketika program Bicara Santai Mind Tune yang berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementara itu, berkongsi mengenai naskah resepi masakan pula Deja memberitahu buku itu berbeza dengan apa yang ada dalam pasaran.

Penyanyi kelahiran bumi kenyalang itu berkata dirinya sejak dahulu tidak gemar membuat sesuatu yang tipikal dan sama seperti orang lain.
“Resepi yang saya sertakan dalam buku ini lain. Setiap resepi dalam buku ini akan ada kisah mengenainya di sebelah. Ini kerana, resepi saya semuanya ikut citarasa sendiri. Tidak ada aturan seperti resepi lain.
“Saya lebih suka masakan barat. Saya suka mencuba resepi baharu, dan cipta sendiri. Sebab itu setiap masakan itu saya ingat kisah dia. Semuanya nanti akan dimasukkan dalam buku masakan saya,” katanya lagi.
Single alunan zikrullah
Deja yang juga isteri kepada ahli perniagaan berketurunan Amerika Syarikat-Syria, Maher Khani memaklumkan masih belum mempunyai perancangan untuk menghasilkan single baharu.
Malah, katanya, jika diberi peluang dia ingin mengeluarkan single versi islamik dengan alunan zikir.
“Buat masa ini tiada perancangan untuk keluar single baharu. Kalau ada pun saya nak single zikir sahaja,” ujarnya.
Mengakui ada menerima tawaran untuk menyertai pertandingan Gegar Vaganza, namun Deja masih belum bersedia.
“Ada dapat tawaran Gegar Vaganza. Bagi saya biarlah beri peluang kepada orang lain dahulu,” katanya. – Malaysiapost

