
Aiman Hanif
TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Umno yang tidak “menyambut” hasrat Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional (MN).
Mendedahkan perkara itu, Tuan Ibrahim berkata Umno berbuat demikian kerana kecewa dengan tindakan Bersatu menubuhkan Perikatan Nasional (PN).
“Dalam beberapa siri mesyuarat MN, kita sedia menerima Bersatu menjadi rakan dalam MN. Kedua-dua Presiden telah mengutus surat menjemput Bersatu menyertai gabungan ini, dan Bersatu telah menyatakan persetujuan ke arah itu.
“Sayangnya surat persetujuan itu tidak disambut sehingga kini. Ia terjadi kerana Umno kecewa bila Perikatan Nasional (PN) didaftarkan sebagai gabungan parti. Ia dilihat penting bagi kerajaan PN kerana ada parti yang mendokong kerajaan.
“Umno membuat keputusan kekal dalam gabungan BN. Usaha untuk mendaftarkan MN gagal kerana nama MN telah ada pihak yang terlebih dahulu didaftarkan.
“Umno telah lebih awal membuat keputusan untuk menggunakan lambang BN dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, manakala PAS masih mengkaji kesesuaian logo. Parti akan membuat keputusan setelah mendapat panduan Majlis Syura nanti,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 Ahad lalu, Umno membuat keputusan menamatka kerjasama dengan Bersatu pada PRU15.
Umno juga membuat ketetapan menarik sokongan Ahli Parlimen parti itu terhadap kerajaan PN bila Parlimen dibubarkan.
Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak PAS kembali ke matlamat asal penubuhan MN.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menegaskan kerjasama tiga parti itu penting untuk kelangsungan politik negara.
PAS mengajak Umno untuk kembali ke meja rundingan bagi menyelesaikan segala kemelut yang berlaku ketika ini berpadukan Islam.
“Politik ialah usaha membanyakkan kawan dan mengurangkan musuh. Dalam apa jua muafakat politik, kerusi menjadi persaingan. Dalam satu parti pun ianya menjadi rebutan, apatah lagi dalam gabungan pelbagai parti.
“Namun kaedah perpakat yang ada jangan kedekut, yang minta jangan tamak. Ada waktu kita kena korban apa yang kita sayang untuk elak mudarat yang lebih besar.
Jangan menang sorak, kampung tergadai. Menyanyilah lagu anak kecil bermain api, kalau tidak dihayati, ia akan membakar diri.
“PAS tetap berpendirian bahawa muafakat antara tiga parti adalah jalan terbaik. Kenapa perlu pilih yang kurang baik. Mari kita jadikan panduan Allah dalam usaha menyelesaikan kemelut yang berlaku,” katanya lagi.- Malaysiapost
Artikel berkaitan :
