Tugas kita, bantu kerajaan yang kita dirikan bersama – Annuar

0
2

BEKAS Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa mengingatkan bahawa ketika ini, tugas dan tanggungjawab Umno adalah membantu kerajaan Perikatan Nasional.

Ia berikutan kerajaan yang tertubuh pada hari ini juga merupakan hasil kerjasama daripada Umno sebelum ini.

“Bukan masa utk kita gagalkan Muafakat Nasional (MN). Bukan masa untuk kita lari meninggalkan tugas membantu kerajaan yang kita sendiri dirikan.

“Justeru kita sepakat untuk meneruskan khidmat demi rakyat.

“Terima kasih Bung (Datuk Bung Moktar Radin), Datuk Ir Hasni Mohammad di Johor, Datuk Sulaiman Md Ali di Melaka yang terus berkongsi memimpin negeri dan tidak bercerai berai,” kata beliau dalam hantaran di laman Facebook, pagi ini.

Pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 Sabtu mencapai sepakatan bahawa parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) secara solo atas tiket Barisan Nasional (BN).

Umno juga menyatakan pendirian untuk menolak kerjasama dengan Bersatu dan bakal menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN) bila-bila masa dari sekarang.

Berikutan itu, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata pemimpin Umno yang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa segera meletakkan jawatan.

Menurut beliau, selain itu pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lantikan PN juga perlu melepaskan jawatan mereka.

Katanya, tindakan itu adalah selari dengan keputusan parti yang memutuskan kerjasama dengan kerajaan PN.

Sementara itu, Annuar turut mengucapkan terima kasih kepada barisan menteri dari Umno yang masih bertekad sebulat suara kekal istiqamah dan terus berkhidmat dalam kerajaan.

“Mari kita dahulukan kestabilan negara agar pemulihan ekonomi terus lancar. Mari kita teruskan usaha memenangi perang melawan wabak Covid-19 yg telah melumpuhkan dunia.

“Mari kita laksanakan agenda membela rakyat yang terkesan dengan situasi semasa. Mari kita buktikan kita mampu berjaya membela rakyat dan memimpin negara,” kata beliau. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here