AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersetuju dengan cadangan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengasingkan proses hak mengundi kepada mereka yang berumur 18 tahun dan pendaftaran pemilih automatik.
Syed Saddiq, berkata beliau menyambut baik cadangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berhubung isu itu.
“SPR mendakwa bahawa pendaftaran automatik pengundi tidak boleh dibuat pada Julai 2021 kerana masalah sistem dan perlaksanaan PKP.
“Walaupun saya tidak boleh menerima alasan yang diberikan SPR kerana persiapan sudah dimulakan sejak Julai 2019, tetapi fokus dan tumpuan kerajaan harus diberikan kepada hak orang muda berusia 18 tahun untuk segera dilaksanakan,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Beliau berkata, sewaktu saya menjadi Menteri Belia dan Sukan, SPR juga memaklumkan kepadanya bahawa proses Undi18 boleh dilakukan dengan segera.
“Apa yang menjadi halangan kepada SPR pada waktu itu adalah berkenaan sistem pendaftaran automatik pengundi sahaja yang memerlukan pembangunan sistem, semakan dan penyelarasan data dan lain-lain.
“Maka, benarkan terlebih dahulu orang muda berusia 18 tahun untuk daftar diri sebagai pengundi,” katanya.
Syed Saddiq berkata, Undi18 adalah Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang telah mendapat sokongan majoriti besar Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang pada 16 Julai 2019.
“Hari ini, Undi18 juga menuntut sokongan secara bipartisan dari Kerajaan dan Pembangkang supaya UNDI 18 dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengemukakan cadangan kepada Kabinet semalam, untuk mengasingkan proses hak mengundi kepada mereka yang berumur 18 tahun dan pendaftaran pemilih automatik.
Reezal Merican berkata, SPR diharap dapat melaksanakan usaha itu dengan segala formula dan ruang yang ada, memandangkan semua anggota Kabinet semalam menyokong Undi18. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/01/undi18-kbs-cadang-pengasingan-proses-dan-pendaftaran-pemilih/

