PAKATAN Harapan (PH) tidak perlu lagi menghitung angka bagi untuk kembali merampas Putrajaya, sebaliknya perlu menumpukan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata veteran DAP, Lim Kit Siang.
Lim bersetuju dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pakatan itu tidak perlu lagi memikirkan soal angka bagi menentukan calon Perdana Menteri.
Katanya, ketika ini amat sukar untuk menentukan majoriti yang dimiliki ketika ini.
“PH perlu menumpukan usaha kepada PRU-15 dan bukannya teralih perhatiannya kepada permainan angka untuk menentukan siapa yang mampu mendapatkan majoriti di Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri
“Saya bersetuju sepenuhnya dengan Ketua Pembangkang yang juga merupakan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan PH perlu menumpukan usahanya kepada PRU-15 dan bukannya teralih perhatiannya kepada permainan angka untuk menentukan siapa yang mampu mendapatkan majoriti di Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Anwar berkata PH kini menumpukan terhadap pilihan raya umum akan datang berbanding rancangan mengambil alih pentadbiran negara dengan sokongan Ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang.
Dia menyampaikan pesanan berkenaan ketika sidang media bersama Lim di Kuala Lumpur petang semalam.
“Kita harus menumpu perhatian terus ke hadapan, mempersiapkan jentera kita untuk membawa idea-idea benas ke tengah rakyat, dan medan pertempuran di kalangan rakyat itu adalah medan PRU.
“Dan inilah yang menjadi, bagi kita fokus PH,” kata Anwar.
Sementara itu, Lim berkata Malaysia kini berada dalam situasi luar biasa kerana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.
“Kita mungkin telah sampai ke satu peringkat di mana tidak mudah untuk kita mencari sesiapa pun yang boleh mendapatkan sokongan majoriti mutlak ahli-ahli Parlimen.
“Muhyiddin telah mengatakan yang darurat ini akan berakhir pada 1 Ogos, diikuti dengan pelaksanaan PRU-15
“Namun melihat kepada situasi yang bakal dihadapi, tidak kelihatan seperti darurat ini akan ditamatkan pada 1 Ogos, mahupun PRU-15 dilaksanakan dalam suku ketiga atau keempat tahun ini,” kata Lim lagi.- Malaysiapost
Foto Kredit: Faceboook Lim Kit Siang

