Menteri Umno kekal dalam kerajaan untuk tangani Covid-19 – Adham

0
1

MENTERI daripada Umno kekal dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memastikan pengurusan menangani Covid-19 serta usaha memulihkan ekonomi dilaksanakan dengan baik. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham berkata menteri daripada Umno bertekad untuk bersama-sama kerajaan sekarang bagi memastikan semua usaha yang digariskan dapat dilaksanakan dengan jayanya. 

“Kita kekal dalam Kabinet untuk bantu negara dan memastikan setiap agenda sedia ada dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya seperti dilaporkan Bernama. 

Beliau memberitahu pemberita selepas majlis menandatangani Nota Kerjasama antara Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya hari ini. 

Dr Adham berkata menteri daripada Umno mempunyai tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan dalam pengurusan pandemik Covid-19 umpamanya Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengurus kebanyakan isu keselamatan. 

Beliau sendiri pula menguruskan hal ehwal pandemik Covid-19 dan pengurusan kesihatan, manakala Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pula selaku Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang terlibat dalam program vaksinasi. 

Ditanya tindakan kekal dalam Kabinet melanggar ketetapan parti, Dr Adham berpendapat ia tidak salah kerana usul yang diputuskan adalah Umno memutuskan kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15. 

Terdahulu hari ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerusi kenyataan memaklumkan setakat ini beberapa menteri daripada Umno masih kekal dalam Kabinet kerajaan pimpinannya. 

Ia berikutan pada masa ini tumpuan utama kerajaan adalah untuk memerangi Covid-19, melaksanakan program imunisasi kebangsaan dan memulihkan ekonomi. 

Ahad lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usul memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu yang menerajui kerajaan PN itu dipersetujui sebulat suara oleh perwakilan Perhimpunan Agung Umno 2020.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here