KENYATAAN terbaharu secara bersama Bersatu dan PAS yang membuat ketetapan mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini meletakkan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan pada kedudukan yang janggal.
Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata sudah jelas sekarang PAS membuat keputusan bersama Bersatu menolak sebarang percubaan menggugat kerajaan PN.
“PAS tidak lagi memperkasakan Muafakat Nasional (MN) yang kini menjadi milik Umno dan BN sahaja.
“Kenyataan terbaru secara bersama PN dan PAS mempertahankan kerajaan PN meletakkan Ahli-Ahli Parliament BN yang berada dalam kerajaan PN dalam kedudukan yang janggal.
“Sudah tidak perlu untuk mereka menunggu sehingga Parlimen dibubarkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut menggambarkan pertandingan tiga penjuru di kawasan Johor Bahru, dalam pilihan raya akan datang seperti dijangkakan.
“BN akan berhadapan pertandingan tiga penjuru di Parlimen dan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin dan Stulang.
“Bila sudah terang, tidak perlu lagi untuk bersuluh!,” tegasnya.
Terdahulu hari ini, Bersatu dan PAS akan terus mengukuhkan kerjasama dalam PN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kedua-dua parti juga bertegas menolak sebarang bentuk ‘penjajaran baharu’ untuk menubuhkan kerajaan pasca-PRU15, terutama yang melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.
Menerusi kenyataan bersama Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, kedua-dua parti akan sentiasa komited untuk memperkukuhkan penyatuan ummah dan perpaduan seluruh masyarakat majmuk.
Selain itu, Bersatu dan PAS sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mendokong konsep tersebut, sekali gus menolak sebarang usaha untuk merungkai perpaduan yang sedia terjalin dan sebarang percubaan menggugat kerajaan PN yang dibina secara bersama. – Malaysiapost
