Polis kesan penganjur pertunjukan fesyen langgar SOP

0
1

POLIS sedang mengesan penganjur serta tetamu dalam satu pertunjukan fesyen jenama tempatan di Glamhall, Damansara Perdana di Petaling Jaya, Rabu lalu yang disyaki melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan dan kawalan Covid-19. 

Ia susulan semakan polis ke atas rakaman video yang tular di media sosial berkenaan acara itu menunjukkan semua tetamu melanggar SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata pihaknya mendapati penganjur juga memuat naik pelbagai gambar sepanjang berlangsungnya majlis yang dianggarkan dihadiri kira-kira 50 tetamu. 

“Tetamu hadir tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal.

“Polis Petaling Jaya sedang mengesan penganjur dan tetamu yang hadir untuk siasatan lanjut,” kata beliau dalam satu kenyataan malam tadi. 

Ku Mashariman berkata, pihaknya juga akan melakukan semakan daftar kehadiran semua tetamu dan penganjur melalui aplikasi “MySejahtera”.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 22(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here