HSR KL-Singapura batal, kerajaan mungkin perlu bayar ganti rugi setiap tahun – Najib

0
1

DATUK Seri Najib Razak mendakwa kerajaan mungkin akan perlu membayar ganti rugi setiap tahun atau ‘bail-out’ operator projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura pada masa depan.

Ia selepas projek HSR Kuala Lumpur-Singapura terbatal dengan rasminya setelah kerajaan Malaysia selesai membayar ganti rugi RM320 juta kepada negara jiran itu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata kos HSR-Johor Bahru dilaporkan antara RM63 bilion hingga RM65 bilion, iaitu tidak jauh berbeza berbanding kos asal RM60 bilion hingga RM68 billion untuk projek asal HSR dari ibu negara ke Singapura.

Akibat pertukaran itu, katanya, jumlah penumpang setahun dijangka turun dari 8.4 juta ke 4.2 juta menjelang tahun 2031.

“Ini akan memberi impak yang amat besar dari segi harga tiket (pengguna dari Singapura mampu membayar tambang lebih mahal) dan jumlah penumpang sehingga projek ini mengalami kerugian besar tahunan memanjang.

“…. bermakna kerajaan mungkin akan perlu membayar ganti rugi setiap tahun atau bail-out operator HSR pada masa depan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi.

Semalam media melaporkan Malaysia membayar SGD102,815,576.00 (RM320,270,519.24) kepada Singapura sebagai pampasan berhubung pembatalan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung dalam satu kenyataan bersama, berkata jumlah pampasan itu dipersetujui kedua-dua negara.

Jumlah itu adalah penyelesaian penuh dan terakhir berkaitan dengan penamatan perjanjian dua hala.

Sebelum ini laporan media dan sumber dalaman menyebut, projek tersebut akan diganti dengan projek keretapi Kuala Lumpur-Johor Bahru dengan menggunakan teknologi ETS KL Sentral ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mengulas mengenainya, Najib berkata projek keretapi Kuala Lumpur-Johor Bahru lebih perlahan berbanding keretapi 350km sejam untuk projek asal.

“Jika ditukar ke Johor Bahru sahaja dan menjadi lebih perlahan berbanding kelajuan asal 350 km/sejam, projek ini tidak boleh bersaing lagi dengan sektor penerbangan Kuala Lumpur ke Singapura.

“Sektor penerbangan ini adalah paling sibuk dalam dunia dan HSR dijangka boleh menurunkan kos tiket, jumlah tempoh perjalanan dan pencemaran udara sebab tren elektrik lebih efficient dan kurang mencemar.

“Impian pergabungan antara dua ekonomi terbesar dan dua ibu kota negara ASEAN juga tidak akan tercapai,” katanya.

Sebaliknya Ahli Parlimen Pekan itu berkata projek HSR Kuala Lumpur – Johor Bahru hanya akan bersaing dengan projek Landasan Berkembar ETS Kuala Lumpur-Johor Bahru yang dijangka siap tahun ini.

“Akibatnya, manfaat ekonomi bagi Malaysia dari projek ini akan berkurang beberapa trilion ringgit menjelang tahun 2050.

“Tapi satu manfaat bagi kerajaan Malaysia ialah kerajaan boleh membuat segala keputusan perolehan untuk memberi kontrak kepada mana-mana pihak dengan sendirinya berbanding model perjanjian usaha sama dahulu, di mana segala proses perolehan dan pemilihan vendor perlu ditimbang, dilaksanakan dan dipantau secara bersama oleh kedua-dua negara,” katanya.

Katanya lagi alasan yang akan diberi kenapa batal dan tukar ke Kuala Lumpur-Johor Bahru dipercayai adalah Singapura tidak membenarkan HSR berhubung dengan KLIA.

“Ini tidak benar kerana rancangan asal ialah untuk HSR berakhir di Bandar Malaysia. Sebuah stesen ERL juga akan dibina di Bandar Malaysia sebab trek ERL KL Sentral-KLIA lalu berhampiran Bandar Malaysia.

“Jika projek HSR tidak lagi berakhir di Bandar Malaysia seperti pada asalnya, maka projek Bandar Malaysia juga tidak akan mencapai potensi pembangunannya sebanyak RM140 bilion juga.

“Jika benar, keputusan kerajaan ini akan banyak merugikan negara bertrilion-trilion ringgit untuk tempoh 50 tahun akan datang sebab walaupun kos projek agak sama tetapi jumlah pendapatan HSR, daya penarikan pelaburan asing serta manfaat ekonomi (kerana tiada lagi cerita integrasi ASEAN) bagi Malaysia adalah jauh lebih rendah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here