
KERJA pembinaan Lebuh Raya Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) masih ditangguhkan sementara, bagi menunggu laporan keselamatan diperoleh daripada juruaudit bebas yang dilantik.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan kerja pembinaan itu hanya boleh bermula sekiranya pihak berwajib berpuas hati dengan setiap aspek keselamatan dilakukan di projek berkenaan.
“Ia masih ditutup sehingga juruaudit bebas yang dilantik memberi laporan lanjut insiden itu dan ia hanya akan disambung semula apabila kita berpuas hati dari sudut keselamatan dan kesihatan terhadap pekerja serta orang awam.
“Setakat ini, kita belum menerima laporan insiden itu daripada pihak audit bebas berkenaan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Pembangunan Kontraktor Penyelenggaraan (PPKP) 2021, hari ini.
Minggu lalu, komponen kren gantri di tapak pembinaan lebuh raya SUKE yang sedang dalam pembinaan jatuh dan menimpa sebuah kereta.
Insiden itu menyebabkan tiga individu maut, manakala seorang mengalami kecederaan. -Malaysiapost
Foto Kredit: The Star
