Menteri Umno letak jawatan jika mahu pemilihan segera – Najib

0
1
Pix via Malaysiapost

SEMUA pemimpin Umno dalam kerajaan sekarang perlu terlebih dahulu meletak jawatan jika mahu pemilihan parti diadakan segera, kata Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, ada kelebihan dan kelemahan dalam pemilihan parti, satu daripada kesannya adalah perpecahan Umno, di mana pihak yang kalah itu akan dicuri oleh pihak lain untuk menjadi calon mereka.

“Jadi, kalau ada pihak parti lain yang nak melemahkan Umno, dia akan tunggu pemilihan dalam Umno justeru serpihan daripada mereka yang kalah itu akan dipelawa, atau dipujuk masuk ke dalam parti mereka,” katanya menerusi satu rakaman video di Facebooknya.

Sehubungan itu, Beliau berkata, Umno akan berpecah dan untuk mengelak perkara berkenaan, parti perlu mengkaji secara mendalam.

“Kalau ada pertandingan pun, nak bertanding mesti ada ‘level playing field’.

“Semua dalam kerajaan letak jawatan dan bertanding, baru ada ‘level playing field’ sebab bila mereka dalam kerajaan, mereka akan tawar macam-macam dengan menggunakan peruntukan kerajaan dan sebagainya.

“Tidak adil bagi mereka yang tiada jawatan, jadi kalau kita nak bertanding mesti ada ‘level playing field’,” katanya.

Ahli Parlimen Rembau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin hari ini mendesak agar Umno segera mengadakan pemilihan pucuk pimpinan.

Dalam satu hantaran di ‘Insta Story’ di Instagram miliknya, bekas Ketua Pemuda Umno itu percaya kemelut dalaman yang melanda Umno dapat diselesaikan dengan mengadakan pemilihan parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, hanya satu cara untuk menyelesaikan kemelut dalaman Umno. Segerakan pemilihan parti. Jangan tangguhkan sehingga selepas PRU.

“Sepatutnya pemilihan diadakan pada tahun ini. Umno mesti menghadapi PRU dengan kepimpinan yang mempunyai mandat jelas dan boleh mendapat sokongan rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here