Najamuddin Mohd Nor
AHLI Umno yang meletakkan jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum tiba masanya akan mengundang tanggapan buruk rakyat kepada Umno sendiri.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, tiada sebab untuk ahli Umno yang mempunyai jawatan dalam kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatan kerana ia masih mematuhi keputusan yang ditetapkan oleh MKT parti.
“Apa pasal nak kena letak jawatan Menteri, Timbalan Menteri, Pengerusi GLC semua, bukan nak pilihan raya lagi.
“Lagi pun ia selaras dengan kehendak MKT yang memutuskan Umno masih bekerjasama dengan PN sehingga pembubaran Parlimen. Ia tak salah.
“Kalau ada yang meletakkan jawatan, saya sifatkan ia akan memburukkan imej parti di mata rakyat. Sepatutnya dengan ada jawatan itu, gunakan peluang itu untuk membela, membantu rakyat.
“Tanya saya, apa pasal nak letak jawatan, MKT dah putuskan sampai pilihan raya. Inilah peluang saya nak bantu rakyat, saya memang suka bekerja untuk rakyat,” katanya pada sidang media khas di Damansara, hari ini.
Mengulas lanjut ucapannya yang ‘diganggu’ ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 tempoh hari, Ahli Parlimen Arau itu jelas kecewa kerana pandangannya disambut dengan emosi oleh rakan-rakan partinya sendiri.
“Saya akan menegakkan kebenaran iaitu dengan meletakkan persahabatan, perundingan sebagai asas politik.
“Kalau itu dianggap salah oleh MKT, tak boleh buat apa lah…tapi buat masa ini MKT setuju dengan saya bahawa menyokong kerajaan PN sampai pilihan raya, takkan salah.
“Cuma saya sebut (ucapan di PAU) perkataan menolak sesuatu parti politik itu. Saya sebut membuka pintu rundingan dengan PN.
“Berilah saya peluang berucap, dah habis berucap bagilah pandangan, nak cakap apa pun terpulanglah…tapi janganlah sampai pandangan tak boleh bawa keluar.
“Saya nak bagi pandangan, takkan nak bagi pandangan memusuhi saya. Cadangan nak bagi buka pintu rundingan pun tak boleh. Saya nak bagi Umno Perlis menang pilihan raya, inilah cara saya…yang penting kita nak menang pilihan raya,” katanya.
Shahidan yang juga Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) adalah antara beberapa pemimpin Umno yang dilihat mesra Bersatu dan bertentangan dengan pendirian Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ketika di PAU yang baru diadakan, usul untuk menolak kerjasama dengan Bersatu dan PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disokong sebulat suara oleh perwakilan.
Dalam pada itu, Shahidan bersetuju dengan gesaan Khairy Jamaluddin agar pemilihan Umno diadakan segera sebelum PRU.
“Ya, saya setuju dan sepatutnya mengikut ROS, bulan Jun ini mesti diadakan pemilihan parti. Sudah sampai tempohnya bulan Jun kena buat pemilihan parti,” katanya. – Malaysiapost

