Pelaburan asing jatuh ke naik? -Najib Razak

0
1

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan kenyataan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkaitan pelaburan asing ke Malaysia yang didakwa meningkat 5.8 peratus iaitu sebanyak RM108.3 bilion.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kenyataan tersebut dikeluarkan Bersatu pada petang semalam bagi membidas bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani kerana beliau mengatakan bahawa pelaburan asing berkenaan telah jatuh teruk sejak Pilihan Raya Umum ke-14.

Katanya, Bersatu menafikan perkara tersebut namun jika dilihat pada data rasmi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan pelaburan asing telahpun jatuh kepada 13 bilion.

“Bersatu kata pelaburan asing ke Malaysia sebenarnya naik 5.8 peratus ke RM108.3 bilion tahun lepas sebab kerajaan Perikatan Nasional dan Menteri MITI amat bagus. (Jangan ketawa sebab ada juga yang akan percaya pelaburan asing ke Malaysia sebenarnya naik tahun lepas).

“Entahlah. Data rasmi MIDA (di bawah MITI) kata pelaburan asing jatuh ke RM13 bilion tahun lepas. Manakala data rasmi United Nations kata pelaburan asing ke Malaysia jatuh dengan kadar sekali ganda lebih laju dan menjadi paling rendah dalam rantau ASEAN,” katanya menerusi Facebook.

Oleh kerana itu, Najib berkata, beliau masih tertanya dari mana Bersatu mendapatkan angka RM108.3 bilion ini.

“Adakah ianya termasuk pegangan bond pinjaman kerajaan oleh warga asing?

“Yang saya tahu ialah hutang kerajaan dipegang orang asing naik sangat tinggi tahun lepas sebab kerajaan banyak meminjam dari dana asing setelah hutang kerajaan naik dari RM793 bilion pada akhir tahun 2019 ke RM879.6 bilion pada akhir tahun 2020,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=263072148804335&id=104231918021693

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here