Mayat berbungkus ditemui tepi jalan di Kuala Kangsar

0
1

MAYAT lelaki berbalut kain putih bersama selimut bercorak kartun serta kanvas plastik ditemui di tepi jalan di Kilometer 57, Jalan Gerik-Kuala Kangsar berhampiran Kampung Lubok Merbau, hari ini.

Mayat berbungkus itu ditemui orang awam di jalan menghala ke Kuala Kangsar kira-kira pukul 10.15 pagi sebelum melaporkan kepada pihak polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, anggotanya yang tiba ke lokasi sejurus menerima maklumat mendapati terdapat mayat seorang lelaki dibalut dengan kain dan kanvas.

“Mangsa dipercayai warga tempatan berdasarkan parut suntikan pada bahu sebelah kiri dan disyaki telah meninggal dunia dalam tempoh kurang daripada 36 jam.

“Mangsa ditemui memakai kemeja dan berseluar pendek. Terdapat satu kesan luka pada bahagian kepala sebelah kanan namun tidak dapat dipastikan punca luka tersebut,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Anuar berkata, mangsa yang berusia lingkungan 40-an itu dipercayai mati di tempat lain namun mayatnya dibawa dan ditinggalkan di kawasan tersebut.

Turut ditemui berhampiran mayat mangsa ialah seekor ayam yang telah mati.

“Pemeriksaan di lokasi mangsa dijumpai mendapati kawasan tersebut jauh dari kawasan kejiranan dan merupakan laluan utama yang digunakan dari Gerik ke Kuala Kangsar.

“Tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersama mangsa dan semakan terhadap laporan orang hilang akan dilakukan bagi mengenal pasti identiti lelaki terbabit,” katanya. –Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here