Najamuddin Mohd Nor
BEKAS Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Tun Faisal Ismail Aziz menyifatkan keputusan Umno menggantung enam tahun keahliannya sebagai mesej kepada ahli parti supaya patuh arahan pemimpin.
Bagaimanapun, Tun Faisal mempersoalkan mengapa keputusan penggantungan tersebut dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan bukan pihak Lembaga Disiplin.
“Pertama kenapa MKT dipilih buat keputusan, sepanjang saya pegang jawatan MKT dari zaman pemuda sampai sekarang, MKT tak pernah buat keputusan disiplin dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU).
“Kenapa pula, saya rasa ramai spekulasi ada kaitan nak berikan tanda-tanda atau sedikit peringatan kepada ahli supaya ada ramai patuh arahan pemimpin,” katanya ketika ditemui media di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.
Tun Faisal juga membandingkan tempoh penggantungan dengan hukuman yang sama dikenakan terhadap bekas ahli MKT Umno, Datuk Lokman Noor Adam.
“Yang kedua yang dispekulasi kenapa sampai enam tahun, ramai sahabat sahabat termasuk pimpinan Umno dan termasuk lama-lama hairan kerana rasa enam tahun macam pelik sangat. Lokman Adam dulu tiga tahun sahaja,” jelasnya.
Surat penggantungan itu dikeluarkan semalam, selepas Majlis Kerja Tertinggi Umno mengesahkan keputusan yang dibuat oleh lembaga disiplin parti pada 8 Mac.
Surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung parti Datuk Seri Ahmad Maslan itu menyatakan bahawa penggantungan itu kerana melanggar tataetika sebagai ahli Umno.
Faisal sebelum ini mengkritik Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin lain yang menyokong untuk mengakhiri kerjasama dengan Bersatu.
“Beri masa saya dua hari untuk membuat rayuan, saya perlu teliti dan akan buat rayuan,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/28/keahlian-tun-faisal-dalam-umno-digantung-6-tahun/

