Bersatu cuba ‘pikat’ Ahli Parlimen Cameron Highland – MB Pahang

0
1

TERDAPAT cubaan dari Bersatu memujuk Ahli Parlimen Cameron Highland, Ramli Mohd Nor supaya lompat parti.

Perkara tersebut didedahkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020.

Wan Rosdy berkata, beliau mempunyai bukti yang kukuh berkenaan tindakan licik Bersatu cuba ‘memikat’ Ahli Parlimen itu.

“Sudah lah tidak ikhlas, main kotor pula. Saya ada bukti kukuh, mereka berusaha memujuk dan memikat Ahli Parlimen Cameron Highlands.

“Kita bertungkus-lumus di pilihan raya kecil (PRK) menangkan beliau (Ramli). Tetapi mereka pula nak pikat, hantar khidmat pesanan ringkas hendak berjumpa dan mencadangkan sesuatu ajak berunding.

“Ahli Parlimen Cameron Highlands, ada di sini tanyalah YB Cameron Highlands. Sampai mereka datang ke rumah, tapi usaha mereka gagal,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Umno, hari ini.

Ramli yang juga bekas pegawai polis secara rasminya menjadi Orang Asli pertama bergelar Ahli Parlimen.

Calon Barisan Nasional (BN) itu juga mencatat sejarah menjadi wakil Orang Asli pertama di Dewan Rakyat.

Malah, Ramli menjadi calon BN pertama yang menang melalui kerjasama Muafakat Nasional (MN) antara Umno dan PAS.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, daripada sibuk untuk menjual beli Ahli Parlimen adalah lebih baik kerajaan membubarkan Parlimen.

“Timbul isu Bersatu hendak letak Iima calon ahli Parlimen di Pahang, siapakah mereka untuk tentukan kerusi di Pahang?

“Sedangkan satu kerusi pun tak ada. Tidak berunding pula dengan Umno. Mereka ini tiada keikhlasan dengan kita,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/03/28/umno-kekal-pendirian-no-bersatu-no-anwar-no-dap/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here