Undi 18: Hakikatnya Kerajaan PN yang tak matang – Isham Jalil

0
2

KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil menyifatkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersikap ‘tidak matang’ kerana tidak membenarkan pelaksanaan mengundi pada usia 18 tahun.

Beliau berkata, ini kerana daripada semua 195 negara di dunia, hanya kurang daripada 15 negara sahaja yang menetapkan umur minimum mengundi lebih daripada 18 tahun termasuk Malaysia.

Katanya, daripada jumlah itu hanya enam negara sahaja yang menetapkan umur minimum mengundi setua 21 tahun.

“Tidak masuk akal jika 180 negara-negara yang menetapkan umur mengundi 18 tahun ini membenarkan rakyat mereka yang “tidak matang” untuk mengundi.

“Atau adakah logik hanya 15 negara sahaja di dunia ini termasuk Malaysia yang rakyatnya tidak matang atau lambat matang untuk mengundi?,” soalnya dalam hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut, Isham mengingatkan pemimpin kerjaaan PN supaya tidak menidakkkan hak orang muda untuk mengundi hanya disebabkan kepentingan politik.

“Atau mungkinkah kerajaan kita ini sahaja yang menganggap orang-orang muda atau belia Malaysia berumur 18 tahun kononnya masih ‘belum matang’ untuk mengundi berbanding belia-belia di hampir kesemua negara-negara lain di dunia?

“Kepada pemimpin-pemimpin Kerajaan PN, usahlah menidakkan hak orang muda untuk mengundi hanya kerana kepentingan politik yang tidak menyebelahi anda. Sebenarnya anda-lah yang tidak matang. Buatlah perkara yang betul,” katanya.

Beliau turut menyenaraikan negara yang menetapkan umur minimum mengundi lebih daripada 18 tahun termasuk Bahrain, Cameroon, NauruTaiwan, Tokelau, Oman, Samoa, Singapura Tonga dan Malaysia.

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Beliau berkata, pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Secara tidak langsung, katanya, situasi sedemikian menjejaskan perancangan dan persiapan SPR menjayakan pendaftaran pemilih automatik serta undi 18, yang sebelum ini sepatutnya dijangka dilaksanakan Julai depan.

Sebelum ini, beberapa pemimpin parti dari sayap pemuda termasuk Pemuda Umno, MCA, PKR, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Pemuda DAP menuntut kerajaan menyatakan pendirian mengenai status undi 18 tahun.

Ia susulan kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim yang mendakwa negara belum bersedia melaksanakan dasar undi 18 tahun. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here