Tok Mat: Jangan ajar Umno tentang penyatuan ummah

0
2

Aiman Hanif

JANGAN mengajar Umno tentang penyatuan ummah, jika tidak pernah mempunyai rekod menyatu padukan bangsa, kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad mengingatkan kepimpinan serpihan parti Melayu yang baru setahun jagung supaya tidak berbicara tentang penyatuan ummah dengan Umno.

“Jadi, kepada pemimpin serpihan parti Melayu yang baru setahun jagung usianya, usahlah tuan-tuan berbicara tentang perpaduan ummah dengan Umno. Bila tuan-tuan sendiri tidak punya sebarang rekod menyatu padukan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia.

“Jangan berbicara tentang perpaduan ummah dengan Umno, kalau tuan-tuan sendiri berentap dengan mereka yang sebelum ini tuan-tuan peluk dan dakap mesra.

“Jangan berbicara tentang perpaduan ummah dengan Umno kalau yang tuan-tuan tahu, hanyalah memancing dan mengutip sesiapa sahaja yang pantas meninggalkan perjuangan bangsa.

“Termasuklah mereka yang selama ini tidak berhenti-henti menghina dan merendah-rendahkan orang Melayu,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasamian serentak sayap parti Umno pagi ini di PWTC, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu Mohamad berkata agak menjelikkan apabila mereka yang meninggalkan PKR turut bercakap berkenaan perpaduan ummah.

Katanya, Umno tidak akan sesekali melacurkan perjuangan bangsa dalam matlamat politik yang sempit.

“Lebih menjelikkan, bila mereka yang meninggalkan PKR turut tidak malu mahu bercakap berkenaan perpaduan ummah.

“Sedangkan selama berpuluh-puluh tahun, perjuangan mereka tidak pernah sekali pun menjurus kepada kebaikan orang Melayu, apatah lagi perpaduan ummah.

“Maka dengarlah wahai seluruh perwakilan Umno dan bangsa Melayu. Saya tegaskan dengan setegas-tegasnya. Bahawa perpaduan bangsa Melayu, adalah cita-cita besar yang Umno telah dan akan terus dukung dengan tegas dan setia.

“Ia tidak akan kami lacurkan dalam matlamat politik yang sempit. Ia tidak akan kami leburkan dalam perlumbaan kuasa yang tidak cerdik,” katanya lagi.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here