UMNO tidak akan memberi peluang kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bertindak sewenang-wenangnya dalam mentadbir kerajaan.
Ketua Wanita Umno, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata walaupun Umno adalah sebahagian daripada kerajaan ketika ini ia bukan ‘lampu hijau’ untuk PN bertindak sesuka hati.
“Walaupun kita sekarang menjadi sebahagian daripada kerajaan, tetapi ini tidak bermakna, ia memberi lampu hijau kepada Kerajaan sementara ini untuk bertindak sewenang-wenangnya.
“Ini tidak bermakna walaupun saya berpijak di dalam pentas yang sama, segala tindak-tanduk – segala keputusan yang boleh menodai kepercayaan rakyat, tidak semestinya kita akur. Marilah bersama-sama dengan saya, menjadi semak dan imbang kepada segala tindakan kerajaan,” katanya dalam Ucapan Dasar Ketua Wanita Umno sempena PAU 2020 di PWTC, hari ini.
Noraini berkata, kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan rahmat kepada Umno dan PAS sahaja sebaliknya ia rahmat kepada Islam, orang Melayu, masyarakat bumiputera dan seluruh rakyat di negara ini.
“Bayangakan kerosakan yang telah dilakukan Pakatan Harapan. Baik dari segi keharmonian antara kaum. Baik dari segi ekonomi. Segalanya berpaksikan kepada kelemahan sebuah Kerajaan yang tidak bijak untuk mengemudi,” katanya.
Beliau berkata, kuasa itu Ibarat senjata tajam yang mana jika dimanfaatkan dengan hikmah, ia membawakan kepada kesejahteraan namun jika disalahguna boleh melukakan dan membunuh.
“365 hari yang berlalu, penuh dengan mehnah dan tribulasi. Siapa sangka, dari terbit cahaya mengubat hati yang gelora dan tampak sinar di hujung terowong; hari ini kita berhadapan dengan awan mendung yang mungkin mendatangkan ribut taufan menggoncang politik negara sekali lagi.
“Enam bulan pertama pentadbiran yang penuh semangat dan kegembiraan rakyat kini dipenuhi hiruk-pikuk pergaduhan politik. Benarlah kuasa menguji manusia.
“Kita mudah menuturkan bicara ketika menunding jari. Hari ini apabila diberi kuasa dan peluang oleh Allah SWT kita mengulangi sejarah perbalahan umat Islam sejak pembunuhan Saidina Usman bin Affan,” katanya.
Beliau berkata, sejarah Islam mencatatkan kisah sedih pergaduhan dua sahabat Nabi, Saidina Ali dan Muawiyah sehingga tercetusnya perang Siffin.
“Kita semua tahu pergaduhan ini berakhir dengan pembunuhan Saidina Ali juga. Kita juga tahu segalanya berpunca daripada adu domba puak munafik dan khawarij.
“Secara peribadi, inilah tanggapan saya dalam keadaan politik orang Melayu hari ini. Walaupun kita tidak berperang dan berbunuhan secara fizikal, namun perang dan ‘pembunuhan’ dalam wacana politik juga bakal melemahkan politik Melayu-Islam sekali lagi.
“Tanpa kita sedari jarum-jarum kecil telah mengadu domba ikatan politik Melayu Islam ini dan akan menunjukkan taring mereka pada suatu masa nanti,” katanya. – Malaysiapost

