Umno, Bersatu sukar ‘tidur sebantal’ kerana punya mimpi berbeza

0
1

UMNO sukar bekerjasama dengan Bersatu kerana kedua-dua parti itu mempunyai ‘mimpi’ yang berbeza, kata Ketua Wanita Umno, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Noraini mengulangi pendirian bahawa sayap parti itu menyokong penuh keputusan Umno untuk menarik balik sokongan terhadap Bersatu sebaik sahaja paluan gendang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), bermula.

Beliau berkata, Wanita Umno juga menyokong keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang secara tegas tidak akan menjalin kerjasama dengan DAP dan PKR.

“Kita bersetuju Umno dan Bersatu ini sukar untuk tidur sebantal kerana kita punya mimpi yang berbeza. Umno dan Bersatu ini banyak bertembung dari segi kepentingan. Atas sebab itulah kita sukar untuk mengadakan kerjasama dalam PRU.

“Sudah tentu keputusan ini memberikan pelbagai implikasi politik kepada orang Melayu. Namun, Wanita Umno berpandangan, kita harus terus bersama dengan keputusan yang telah dibuat oleh akar umbi dan kepimpinan parti,” katanya dalam Ucapan Dasar Ketua Wanita Umno sempena PAU 2020 di PWTC, hari ini.

Beliau berkata, Umno juga harus memikirkan kelangsungan atau survival parti demi mempertahankan agenda Melayu Islam di negara ini.

Katanya, sebagai parti keramat orang Melayu Umno mempunyai satu tanggungjawab yang besar untuk meluruskan kembali jalur politik negara.

“Jalur politik ini penting, kerana kita bukanlah pengkhianat. Umno tewas – tetapi kita gunakan ruang itu untuk bangkit kembali diterima rakyat.

“Umno tewas – tetapi komponen Barisan Nasional dan Friends of BN tetap setia. Umno tewas – tetapi hubungan bersama PAS yang dahulunya tidak sehaluan kembali pulih setelah penyatuan ummah digerakkan.

“Tetapi Umno tidak pernah terkubur, apatah lagi dikatakan lemah sehingga dilihat boleh diperguna serta diperkotak-katikkan sesuka hati,” katanya.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, jalur ini umpama benang yang basah dan tidak mudah untuk dilentur lurus, namun ia tidak mustahil untuk dilaksanakan.

“Kalau kita cekal berusaha, jalur politik ini akan kembali kepada asasnya – asas yang disantuni oleh pejuang-pejuang yang telah memimpin negara ini terbina dengan gemilangnya.

“Pemimpin-pemimpin ini bukanlah datang dari luar – tetapi mereka lahir daripada parti yang menjadi azimat sejak sekian lama,” katanya.

Justeru, katanya, Wanita Umno mahu kepimpinan parti untuk terus tegas dalam memastikan parti ini kembali memimpin yang bukan sahaja kerana kuasa dan kerusi tetapi demi kesejahteraan rakyat.

“Jangan sesekali, benarkan kerusi yang penat jerih wanita dan jentera parti menangi, diberikan lagi kepada pengkhianat yang telah lompat parti!

“Umno ini seperti dara pingitan, ramai yang mencuit, ramai juga yang mengenyit. Tapi ingat! Saya ingin tegaskan, Umno hanya akan menerima dan bekerjasama dengan mereka yang boleh menerima falsafah dan perjuangan parti keramat ini,” katanya.

Noraini berkata, Wanita UMNO akan terus memberi kepercayaan kepada Presiden parti dan ahli MKT untuk meneliti, mengkaji dan membuat keputusan politik yang terbaik demi memastikan parti itu kembali menjadi pilihan rakyat dan pengundi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here