SABAN tahun, pada musim panas atau kemarau pokok-pokok Tecoma akan mengeluarkan bunga warna putih dan merah muda di beberapa kawasan di ibu kota ini.
Tidak ubah seperti menikmati musim bunga di Jepun dan Korea Selatan, musim ‘Sakura Malaysia’ antara yang dinanti-nantikan rakyat Malaysia. Malah, ramai tidak melepaskan peluang mengabadikan gambar menarik musim ini.
Menerusi Facebook rasmi, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan penanaman pokok itu bukan sekadar teduhan dan kehijauan, malahan ia termasuk aspek keindahan.
DBKL memaklumkan, terdapat 10,030 pokok Tecoma telah ditanam pihak berkusas tempatan (PBT) itu di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Daripada jumlah itu, 1,173 batang pokok ini berada di pinggir jalan sekitar bandaraya ini. Pokok ini turut ditanam di dalam taman-taman awam di bawah seliaan DBKL.

“Pokok ini ditanam sebagai tanaman pinggiran jalan yang berfungsi bukan sahaja sebagai pokok teduhan tetapi juga sebagai hiasan kerana ia menghasilkan bunga yang menarik iaitu merah jambu dan putih,” kata DBKL menerusi hantaran Facebook.
DBKL memaklumkan ketika ini, pokok-pokok ini boleh dilihat di pinggiran jalan utama seperti di sekitar kawasan Jalan Kelang Lama, Jalan Kuching, Jalan Sri Permaisuri, Jalan Metroprima Kepong dan Lebuhraya NPE.

“Penanamannya akan diperluaskan dari semasa kesemasa mengikut kesesuaian.
“Nikmatilah keindahan ini dan sayangi bandaraya ini kerana ia adalah milik kita semua.
“DBKL akan terus memastikan bandaraya ini kekal indah dan ceria tetapi anda sebagai warganya yang akan memastikan samada keindahan ini terus berkekalan. Berbanggalah kerana kita juga punyai keindahan ini,” katanya. – Malaysiapost


