PAU: Tunjukkan setiakawan atau silakan keluar – Ku Li

0
2

Muhammad Apendy Issahak

VETERAN Umno Tengku Razaleigh Hamzah berharap barisan kepimpinan menunjukkan kesetiakawanan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) dengan menyokong apa yang dipersetujui oleh parti kelak.

Pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu berkata, apabila parti sudah putuskan dalam PAU, semua kena bersatu semula dan sokong apa yang dipersetujui, namun jika ada yang masih berbeza pendapat maka ada jalan keluar untuk mereka.

“Harapan saya kita kena jaga kesetiakawan dalam Umno sebab itulah yang menzahirkan kekuatan parti, kerana kalau kita berpecah-belah bawa idea yang berbeza-beza dengan tiada pakatan atau ketentuan, kita menuju kepada kehancuran.

“Apa yang penting kita perlu tunjuk pada rakyat, yakinkan rakyat yang kita boleh bawa hasrat dan cita-cita rakyat dan ini kita sudah berjaya lakukan,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Malaysiapost malam tadi.

Tengku Razaleigh turut menyatakan harapannya terhadap PAU yang akan berlangsung selama dua hari bermula esok.

Menurutnya, benar berlaku kesalahan dan kesilapan sebelum ini hingga Umno tewas, namun ia boleh diperbaiki dan meminta maaf kepada rakyat.

“Apakah kita tidak boleh minta ampun dengan rakyat? Dengan Tuhan kita boleh minta ampun takkan kita tidak boleh minta ampun atas kesilapan, kesalahan kita… kita manusia biasa mesti ada salah silap dan kita akui kerana kelemahan yang ada pada kita.

“Tetapi yang penting kita kena tunjuk pada rakyat, negara dan pada dunia luar bahawa parti kita mempunyai kesetiakawan, parti kita kukuh dan kita kuat bersatu serta yakin dengan perjuangan.

“Kita akan bawa perasaan rakyat menerusi perjuangan kita,” katanya.

Beliau yang dikenali dengan panggilan Ku Li berkata, yang paling utama adalah kesetiakawanan sesama ahli Umno dan jangan sampai rakyat tidak tahu arah tuju parti.

“Kita mesti tunjuk yang kita bersatu, kita tahu ke mana nak bawa negara ini dan rakyat terutama orang Melayu,” katanya.

Ditanya mengenai terdapat beberapa kumpulan dalam Umno, beliau mengakuinya dan berpendapat ia pasti berlaku dalam parti yang besar.

“Parti besar macam itulah mesti ada ‘kem’ kerana kita berkawan sana berkawan sini, tetapi akhirnya apabila parti dah putuskan dalam PAU, kita kena bersatu balik, kena sokong apa yang dipersetujui parti, kalau ada yang nak berbeza pendapat juga silakan… ada jalan keluar buat mereka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here