PUTERI Umno mendesak parti itu mengkaji semula pertalian dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) selepas hubungan di antara kedua-dua parti terbabit didakwa semakin hambar.
EXCOnya, Norfadzlete Aryani Mat Rosli, berkata tindakan PAS menyertai Perikatan Nasional (PN) jelas melukakan Umno dan kedudukan parti itu yang tidak menyatakan pendiriannya, seperti bermain di dua kolam.
“Masih ingatkah sahabatku, pada 14 September 2019 tercatat sejarah penting apabila dua parti Melayu, Umno dan PAS bersatu membentuk MN. Piagam yang ditandatangani menjadi titik persamaan dua parti yang meletakkan asas penting dalam ‘perlembagaan Malaysia’.
“Setahun setengah sudah berlalu, tetapi malangnya situasi mula berbeza. Walaupun Umno dan PAS berjaya membentuk kerjasama baharu PN bersama Bersatu hubungan dua parti MN ini dilihat semakin hambar,” katanya ketika mencadangkan usul menyokong Ucapan Dasar Ketua Puteri Umno pada PAU2020 di PWTC, hari inu.
Norfadzlete berkata, berdasarkan pandangan umum, kepemimpinan PAS sudah mula mengkritik Umno walaupun masih bersama dalam MN, sekali gus tidak setia mempertahan gagasan itu.
“Adakah PAS sanggup meninggalkan Umno demi kepentingan peribadi? Bukan demi kepentingan ummah?
“Hubungan ini wajar dikaji semula sama ada PAS sedia menerima MN dengan memperkasakan atau memilih untuk terus bersama Bersatu,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Umno juga wajar membuat keputusan segera mengenai hubungan dengan Bersatu.
“Kenapa nak tunggu sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk memutuskan kerjasama ini? Kita tidak tahu bila PRU dan Parlimen akan dibubarkan,” katanya. – Malaysiapost

