Dua lokap tahanan PATI di Johor Bahru dikenakan PKPD

0
1

KERAJAAN hari ini bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokap tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Johor Bahru, Johor.

Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan ujian saringan ke atas 82 PATI di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika dan daripada jumlah itu 39 orang didapati positif Covid-19.

Manakala, ujarnya, sehingga 25 Mac lalu, sebanyak 51 kes positif telah dilaporkan di lokap tahanan PATI Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru selepas saringan ke atas tahanan yang bergejala.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerkan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di lokap tahanan PATI Kompleks KDN Setia Tropika dan lokap tahanan PATI Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru bermula 28 Mac (esok) sehingga 10 April ini.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan serta kontak rapat yang terlibat untuk memastikan tiada jangkitan dalam komuniti.,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, prosedur operasi standard (SOP) PKPD di pusat tahanan itu juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Kampung Lingkudau, Keningau di Sabah yang dijadualkan tamat pada esok.

Katanya, sehingga kini KKM telah melaksanakan 1,396 saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 91 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“KKM mengesahkan baki kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan, kluster adalah terkawal serta kes terakhir yang dilaporkan ialah pada 23 Mac 2021.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kampung Lingkudau pada 28 Mac (esok) seperti yang dijadualkan,” katanya – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here