Undi18: Ia sesuatu yang mengecewakan, kata Pemuda Umno

0
1

Adeeb Hanif

PEMUDA Umno akan terus mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk melaksanakan undi 18 seperti mana yang telah ditetapkan sebelum ini.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kerajaan telah menghantar isyarat yang salah apabila menangguhkan pelaksanaan undi 18.

Katanya kerajaan dilihat bagaikan tidak menghormati keputusan badan tertinggi legislatif iaitu Parlimen apabila gagal melaksanakan undi 18 seperti mana garis masa ditetapkan.

“Bagi saya ini satu yang amat mengecewakan…Semacam ada satu agenda politik yang sebenarnya memberi isyarat salah bagaikan kerajaan ini tidak menghormati apa yang dipersetujui diperingkat tertinggi legislatif iaitu Parlimen.

“Seharusnya ini tidak berlaku, ini betul-betul mengecewakan dan hak anak muda umur 18 tahun ke atas perlu kita pertahankan,” katanya kepada Malaysiapost.

“Kita memang mendesak supaya kerajaan mengambil tindakan segera. Apa yang dijanjikan itu dapat dilaksanakan berasaskan garis masa yang telah ditetapkan,” tambahnya lagi.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan akan menangguhkan Undi 18 kepada September tahun depan.

Kenyataan itu dilihat bercanggah dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan yang pernah mengatakan ia dijangka dilaksanakan pada Julai.

SPR berkata perintah kawalan pergerakan (PKP) mempengaruhi perancangan dan persiapan untuk menurunkan usia minimum pengundi.

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak pula menyifatkan kerajaan tidak yakin anak muda menyokong mereka menyebabkan undi 18 terpaksa ditangguhkan.

Sementara itu Asyraf berkata, undi 18 adalah agenda bersama Bersatu dan bekas timbalan presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang ketika itu dalam Pakatan Harapan (PH).

“Bagi saya ini satu yang amat mengecewakan kerana ketika PH memerintah dan Bersatu dan juga PKR, (dan juga) Azmin bersama di dalam (kerajaan PH).

“Mereka memberi gambaran bersungguh-sungguh untuk meyakinkan semua parti keperluan undi 18 tahun ini dilakukan,” katanya lagi. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here