IDENTITI guru sebuah tadika yang tular didakwa mencampak anak murid telah dikenalpasti dan dipanggil polis untuk diambil keterangan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib ketika mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenainya, petang tadi.
“Saya mengesahkan laporan polis dibuat oleh ibu kanak-kanak ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas berkenaan sama ada guru terbabit ditahan atau sebaliknya, beliau berkata, siasatan lanjut masih berjalan dan sedang dalam tindakan Jabatan Siasatan Jenayah.
Katanya, individu yang merakam video terbabit juga sedang dalam siasatan.
Sementara itu, Berita Harian melaporkan, pemilik akaun Facebook yang dikenali sebagai Sheikh Al Fariq, yang mendakwa mempunyai anak belajar di tadika itu memaklumkan, guru berkenaan sudah diarahkan berhenti serta-merta.
“Baru lepas jumpa dan dapat penjelasan daripada pengetua. Menurutnya cikgu itu akan diambil tindakan sewajarnya dan akan diberhenti serta-merta. Laporan polis sudah dibuat.
“Nak jumpa cikgu terbabit, tetapi sudah tiada dan tidak dibenarkan mengajar serta-merta. Kejadian berlaku semalam.
“Saya lihat pihak tadika terutama pengetua amat ambil serius mengenai perkara ini kerana cikgu itu bukan mengajar tetap, hanya cikgu praktikal,” katanya.
Menurut hantaran di Facebook itu, pengetua sentiasa mengingatkan guru tetap mahupun guru praktikal supaya mengawal emosi semasa mengajar dan jangan mengambil tindakan melulu terhadap murid.
Katanya, dia dimaklumkan tujuan rakaman dibuat untuk dihantar kepada pihak universiti.
“Video itu tersebar kerana tunang kepada guru yang merakam video itu ternampak kejadian berkenaan,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

