Umno boleh berpakat dengan sesiapa, asal bukan syaitan – Ku Li

0
1

Muhammad Apendy Issahak

VETERAN Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menafikan beliau ‘tidak mahu berkawan’ dengan PAS menerusi kerjasama Umno dan parti Islam itu dalam Muafakat Nasional (MN).

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Gua Musang itu menegaskan dalam politik ‘tiada kawan mahupun musuh yang kekal’ dan oleh itu Umno boleh menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti asalkan ia baik untuk rakyat dan negara.

“Saya bukan tak mahu berkawan dengan PAS, kita boleh kawan dengan sesiapa pun… dalam politik orang selalu kata ‘tiada kawan kekal, begitu juga tiada musuh yang kekal’.

“Kalau benda (kerjasama) tu berfaeadah pada negara dan rakyat, kita akan berpakat dengan sesiapa pun asalkan bukan dengan syaitan,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Malaysiapost malam ini.

Beliau menjawab soalan mengenai pendiriannya yang dikatakan seakan tidak bersetuju Umno meneruskan kerjasama dengan PAS menerusi MN.

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh berkata Umno pernah bekerjasama dengan PAS suatu ketika dulu apabila sama-sama mengasaskan Barisan Nasional (BN) namun ‘bercerai’ sebelum rujuk semula menerusi MN.

“(Kerjasama) kena ikhlas tapi PAS berpakat dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN), tapi kalau kita (Umno) tak boleh bersama dalam PN seperti disuarakan akar umbi Umno, maka PAS ada pilihan.

“Nak kekal atau cerai dengan PN… kalau tidak macam mana nak jayakan MN. Dia (PAS) sebelah kaki sana, sebelah lagi sini, macam mana nak tanding PRU nanti,” katanya.

Mengenai pendirian beliau yang konsisten menolak kerjasama dengan Bersatu, Tengku Razaleigh berkata, ia adalah suara akar umbi.

Pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu menambah rata-rata ahli Umno yang ditemui atau menemuinya mahu hubungan dengan Bersatu diputuskan segera tanpa menunggu Parlimen dibubarkan.

“Banyak bahagian-bahagian Umno yang mahu diputuskan hubungan dengan Bersatu. Ramai menyuarakan mengapa perlu tunggu sehingga pilihan raya akan datang atau sehingga bubarnya Parlimen, baik putuskan sekarang… itulah kehendak orang bawah,” katanya.

Mengenai pertemuan dengan Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelmarin, menurutnya ia adalah pertemuan tidak rasmi, antara lain turut menyentuh soal kerjasama dengan Bersatu.

“Akar umbi persoal mengapa perlu tunggu lama, jika putuskan sekarang maka selesailah kita dengan Bersatu, jadi kita boleh buat persediaan untuk hadapi pilihan raya.

“Selama ini pun kita tidak bergantung kepada sesiapa, Bersatu tiada pun lagi sebelum ini,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan segelintir ahli yang mengkritik keputusan parti, beliau berpendapat tindakan disiplin perlu dikenakan terhadap mereka yang menentang apa yang telah diputuskan parti.

“Bagi mereka yang selalu kritik parti… kita kena kuatkuasakan disiplin kerana setiap organisasi mesti ada peraturan supaya apabila seseorang menjadi ahli dia mesti patuh tidak boleh berjalan sendiri.

“Boleh berlainan pendapat tetapi apabila diputuskan parti kita kena ikut kalau tidak boleh ikut kena keluar atau dikeluarkan,” tegasnya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here