SPR jangan terlibat kerja ‘silap mata’ lewatkan Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi 18

0
2
Dr Abu Hafiz Salleh Hudin

FAKTOR penularan wabak Covid-19 sebagai alasan penangguhan pelaksanaan Pemilih Automatik dan Undi 18, dianggap sebagai dangkal dan hanya ‘silap mata’ pihak yang terdesak ingin mengekalkan kuasa.

Ketua Pejuang Muda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin, berkata pelaksanaan polisi dan dasar bagi dua perkara berkenaan adalah tidak melibatkan pembabitan langsung secara fizikal, sebaliknya hanya melibatkan perubahan atau pindaan sistem.

Menurutnya, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri telah gagal menjelaskan dengan terperinci bagaimana proses pindaan itu terganggu dengan penularan Covid-19 sehingga ia perlu diubah dari jadual asal.

“Setelah dua minggu kenyataan kontroversi Yang Dipertua Dewan Negara (Tan Sri Dr Rais Yatim) disiarkan secara terbuka yang mana beliau menolak pelaksanaan Undi 18 sungguhpun telah diluluskan di Parlimen, akhirnya SPR mengeluarkan kenyataan rasminya berhubung perkara tersebut.

“Alasan penangguhan pelaksanaannya adalah amat dangkal, kerana menjadikan penularan Covid-19 sebagai faktor penghalang dari ia dapat dilaksanakan tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, SPR sewajarnya menjadi pemudah cara kepada pelaksanaan Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi 18 dalam menyuburkan partisipasi demokrasi berparlimen di Malaysia selepas diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat dan bukannya terlibat dalam kerja ‘silap mata’ pihak yang terdesak ingin mengekalkan kuasa secara tidak bermaruah.

Pada 10 Mac lalu, Dr Rais dilaporkan membuat kenyataan bahawa kelayakan mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) di usia 18 tahun yang sepatutnya berkuatkuasa Julai ini tidak dapat diteruskan walaupun Dewan Rakyat sudah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Menurutnya, pelbagai kekangan ke arah pelaksanaannya sebelum negara ini benar-benar bersedia membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.

Kenyataan itu mendapat kecaman pelbagai pihak yang mahukan pelaksanaan Undi 18.

Semalam, SPR dalam satu kenyataan memaklumkan pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi 18 dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022, selepas penilaian semula pelbagai isu dijalankan.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata SPR bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here