‘Kerjasama Umno dan DAP tidak mustahil, tapi…’

0
2

MESKIPUN Umno tegas dengan pendirian dengan prinsip ‘No Anwar, No DAP’, namun masih terdapat suara yang mengaitkan parti itu seolah-olah ada membuat perbincangan ‘bawah tanah’ dengan pihak pembangkang.

Ahli Akademik, Prof Madya Dr Mohd Noor Mat Yazid berkata, Umno mungkin menggunakan strategi tidak mendedahkan kerjasama dengan DAP bagi menjaga sensitiviti orang Melayu terutamanya Ahli Umno sendiri.

Menurutnya, kerjasama dengan DAP itu tidak mustahil namun masih sukar bagi Umno untuk kembali berkuasa tampuk pemerintahan negara pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Dan saya juga berpendapat bahawa sekiranya Umno membayangkan kerjasama, ini tidak ada satu kenyataan yang jelas tapi saya membayangkan, mungkin ini juga strategi Umno supaya tidak mendedahkan kerjasama dengan DAP, sensitiviti orang Melayu.

“Tetapi sekiranya diandaikan kedudukan DAP itu tidak berubah dengan mendapat 42 kerusi Parlimen, satu angka yang agak besar dengan sedikit tambahan sahaja daripada Umno, dalam 70 campur sudah dapat 100 lebih mungkin boleh membentuk sebuah kerajaan saya rasa itu juga adalah andaian yang kurang tepat.

“Ini kerana saya berpendapat bahawa dalam pilihan raya nanti kemungkinan besar kerusi yang dimiliki oleh DAP 42 itu mungkin berubah sedikit walaupun tidak banyak.

“Saya rasa mungkin pengundi-pengundi Cina akan bergerak ke arah lain. Dan misalnya di Sabah satu daripada kerusi DAP yang menang itu bukan di kawasan majoriti Cina, kawasan Tenom, kawasan pendalaman itu, itu adalah pemberian atas dasar prinsip Pakatan Harapan.

Dan 7 yang dimenangi di Sarawak juga tidak semuanya kawasan majoriti Cina, ada juga kawasan campuran,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Noor berkata, peluang Umno untuk menang di kawasan Melayu menjadi sukar jika parti itu kekal dengan prinsip bertanding secara sendirian atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU15 nanti.

“Jadi saya rasa dengan kedudukan struktur 166 kerusi Parlimen di Semenanjung dan 25 di Sabah dan 31 di Sarawak, sekiranya Umno bertanding bersendirian di kawasan majoriti Melayu dia akan berlaku satu pertembungan yang dahsyat di antara Bersatu dan mungkin juga dengan Amanah di kawasan majoriti Melayu dan di kawasan campuran juga Umno akan bertanding mungkin PKR akan bertanding dan sekiranya kawasan Parlimen itu mempunyai kawasan campuran yang di mana besar jumlah pengundi bukan Melayu mengikut kecenderungan sekarang mungkin dia lebih memihak kepada Pakatan Harapan, maka akan berlaku kekalahan, sama ada UMNO sendiri ataupun bagi pihak Bersatu atau pun Pas,” katanya.

Dr Mohd Noor berkata demikian dalam webinar yang dianjurkan oleh Pertubuhan Intelek Negara, malam semalam.

Justeru, Dr Mohd Noor berkata, Umno perlu memikirkan sedalam-dalamnya sama ada dia bertanding secara bersendirian ataupun bekerjasama dengan Bersatu, Pas dan parti-parti yang menyertai Perikatan Nasional.

“Dan saya dengan ikhlas berpendapat bahawa saya lebih bersetuju sekiranya Umno itu tidak bertanding secara bersendirian, tidak keluar daripada Perikatan Nasional, tetapi bersama-sama membentuk sebuah pakatan yang lebih kuat bersama dengan Bersatu, Pas dan juga parti-parti bukan Melayu di dalam Perikatan Nasional, Gerakan dan sebagainya.

“Kerana apa? Saya melihat bahawa sekiranya Umno bertanding secara bersendirian saya berpendapat dengan senario yang berlaku sekarang saya rasa adalah sukar untuk Umno membentuk sebuah kerajaan seperti yang pernah berlaku sebelumnya,” katanya.-MalaysiaPost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here