Perjumpaan kenduri kahwin cetus kluster baharu di Kelantan

0
2

KLUSTER baharu di Kelantan dikenal pasti berpunca daripada satu majlis kenduri kahwin iaitu Kluster Paloh Rambai di daerah Ketereh, Kota Bharu.

Menerusi kenyataan di laman Facebook Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin, kes indeks bagi kluster itu membabitkan seorang wanita tempatan berusia 57 tahun.

Menurutnya, wanita berkenaan dikesan hasil saringan individu bergejala pada 18 Mac lalu dan disahkan positif Covid-19 sehari selepas itu.

“Wanita itu sudah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) untuk rawatan lanjut.

“Susulan itu, sebanyak 20 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini membabitkan daerah Kota Bharu dan Bachok,” katanya dalam hantaran itu, hari ini.

Dr Izani berkata, kes dalam kluster itu terdiri dalam kalangan guru, kakitangan dan murid di beberapa sekolah dan ahli keluarga rapat.

“Punca penyebaran kluster ini daripada majlis perkahwinan anak wanita terbabit yang diadakan pada 13 Mac lalu.

“Kita sedang mengenal pasti kontak rapat beliau yang dilakukan pegawai kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Bharu dan PKD Bachok.

Sementara itu, katanya, rakyat negeri itu diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di majlis sosial dan sekiranya tidak dapat dipatuhi, tangguhkan dahulu majlis kenduri yang dirancang. – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan.

Foto Kredit: Zenuz Production

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here