SERAMAI 2,969 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 telah dikenal pasti terlibat untuk menduduki penjadualan semula peperiksaan awam itu di seluruh negara sehingga 3 Mac lalu, kata Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya.
Beliau berkata, jumlah itu merupakan 0.74 peratus daripada keseluruhan 401,105 calon yang menduduki peperiksaan dan penjadualan semula untuk calon itu dijangka bermula 6 April ini.
Katanya, pemakluman dan semakan bagi calon terlibat dalam peperiksaan dijadualkan semula akan dimaklumkan ke setiap negeri setelah tamat peperiksaan SPM 2020, lapor Bernama.
“Kementerian Pendidikan (KPM) telah menetapkan hanya calon positif Covid-19, diarahkan kuarantin dan sakit dengan dokumen atau pengesahan surat doktor sahaja dibenarkan menduduki peperiksaan SPM yang dijadualkan semula itu.
“Soalan diberikan kepada calon SPM 2020 yang terlibat dengan penjadualan semula adalah berlainan, tetapi sudah sedia ada daripada bank Lembaga Peperiksaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kota Kinabalu hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Kesyukuran Pengurusan Peperiksaan SPM 2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kota Kinabalu.
Turut hadir, Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin dan Pengetua SMK Agama Kota Kinabalu, Hasnah Mohd Yakob.
Seramai 37 daripada 109 calon sekolah itu selesai menduduki peperiksaan SPM bagi kertas terakhir iaitu Sains Komputer hari ini.
SPM 2020 telah dilaksanakan mulai 22 Februari lalu dan berakhir hari ini membabitkan 83 mata pelajaran yang diadakan di 3,310 pusat peperiksaan dengan seramai 48,014 petugas dilantik seluruh negara.
Di Sabah, 36,432 calon menduduki SPM di 314 pusat peperiksaan disediakan di seluruh negeri, melibatkan seramai 5,305 petugas. – Malaysiapost

