LAWAN Umno tidak pernah kuat, tetapi parti itu tewas kerana Umno sendiri lemah dan berpecah, tegas Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Justeru ketika masih ada masa, maka Umno perlu memperbaiki kelemahan itu, katanya.
Menurutnya, ahli Umno boleh berbeza pendapat, namun jangan sampai menimbulkan perpecahan dan belajar daripada sejarah tumbangnya kerajaan zaman lampau.
“Saudara saudari sekalian seluruh ahli Umno. Dalam berpolitik, musuh tidak perlu dicari kerana ia datang dengan sendiri.
“Kebiasaannya ia datang daripada luar dan adakala daripada dalam juga.
“Selalu juga didengari pendapat seberapa ramai sukakan kita, begitu juga yang tidak menyukai,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, biarpun kepimpinan Umno bertukar ganti, ia tetap akan diserang musuh.
Menurutnya, tsunami Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hampir menenggelamkan Umno, namun berjaya bangkit semula.
“Kita betulkan sauh dan menampal bocor kapal Umno yang hampir tenggelam.
“Kita layari semula bersama rakan-rakan yang masih setia menuju destinasi kemenangan.
“Biarpun sebahagian rakan-rakan itu masih muda, kita bersama utuh membelah badai bergelora,” katanya.
Menurutnya, biar apapun cabaran yang dihadapi, ahli Umno perlu berikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.
“Rakyat amat merindui perkhidmatan Umno dan Barisan Nasional (BN),” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/25/umno-jangan-gedebe-dengan-pas-annuar-musa/

