SERAMAI 15 wanita warga asing ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pelacuran di sebuah hotel di Jalan Yew di Pudu, Kuala Lumpur, semalam.
Kesemua warga Thailand dan Indonesia itu bekerja sebagai tukang urut di hotel berkenaan namun disyaki turut menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan.
Kegiatan tidak bermoral itu terbongkar selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), menerusi Jabatan Penguatkuasaan (JPK) melaksanakan Operasi Tindakan Khas di hotel tersebut lewat petang semalam.
DBKL menerusi kenyataan memaklumkan siasatan dan risikan mendapati berlakunya aktiviti pelacuran di tingkat tiga premis hotel berkenaan melibatkan 15 bilik yang dijadikan tempat urut dan aktiviti seks.
“Hasil semakan mendapati premis tersebut mempunyai lesen yang sah daripada DBKL tetapi telah disalahgunakan.
“Seorang warga tempatan sebagai penjaga premis turut ditahan dan diambil keterangan bagi proses dokumentasi oleh DBKL,” katanya.
Susulan itu, DBKL mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan satu Notis Pemberitahuan Tentang Kesalahan menerusi Seksyen 29 Akta Hotel (WPKL) 2003 dan tindakan sita ke atas 35 pelbagai peralatan turut dilakukan.
Menurut DBKL, pihaknya turut menemui barangan seperti kondom, minyak pelincir dan lain-lain peralatan yang dipercayai digunakan untuk tujuan seks.
“Tindakan ini dilakukan di bawah Akta Hotel (WPKL) 2003 mengikut bidang kuasa serta SOP DBKL,” katanya. – Malaysiapost

