OPERASI mengeluarkan mayat terakhir mangsa maut akibat komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dalam kejadian kelmarin, selesai awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, mayat pekerja pembinaan warga China yang tersepit di antara struktur besi itu dikeluarkan pada 3.58 pagi.
“Mayat mangsa telah dikeluarkan dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Ketua Operasi, Penguasa Kanan Bomba I Khairul Azuwan Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, kerja penstabilan ‘U beam’ yang dilakukan pihak kontraktor di lokasi kejadian sejak semalam sudah selesai.
“Kerja menurunkan dua unit ‘winch’ (takal) kini sedang dilakukan dan proses itu dijangka mengambil tempoh kira-kira tiga jam.
“Sebaik kerja menurunkan ‘winch’ selesai, kita akan mengeluarkan mayat mangsa dan proses itu dijangka selesai antara jam 12 tengah malam hingga 1 pagi ini,” katanya.
Semalam, operasi mengeluarkan mayat ketiga insiden itu mengalami kesukaran kerana struktur binaan yang tidak stabil dan mangsa tersepit di antara rasuk binaan serta struktur kren gantri. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/23/mayat-ketiga-nahas-kren-launcher-jatuh-belum-dikeluarkan/

