PROSES mengeluarkan mayat seorang lagi pekerja asing yang tersepit pada struktur besi susulan insiden komponen kren gantri terjatuh di tapak projek pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Persiaran Alam Damai, dijangka selesai tengah malam ini.
Ketua Operasi, Penguasa Kanan Bomba I Khairul Azuwan Ibrahim, berkata kerja penstabilan ‘U beam’ yang dilakukan pihak kontraktor di lokasi kejadian sejak semalam sudah selesai.
“Kerja menurunkan dua unit ‘winch’ (takal) kini sedang dilakukan dan proses itu dijangka mengambil tempoh kira-kira tiga jam.
“Sebaik kerja menurunkan ‘winch’ selesai, kita akan mengeluarkan mayat mangsa dan proses itu dijangka selesai antara jam 12 tengah malam hingga 1 pagi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau menerusi satu kenyataan berasingan petang tadi memaklumkan, kerja penstabilan ‘U beam’ menggunakan ‘I-Beam Support’ dilakukan sebelum melakukan angkatan pada komponen kren gantri yang menghempap mangsa menggunakan kren bergerak.
Katanya, kerja mengeluarkan mangsa menghadapi kesukaran kerana struktur binaan yang tidak stabil dan mangsa tersepit di antara rasuk binaan serta struktur kren gantri. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

