BEBERAPA kawasan di Wilayah Petaling, Klang dan Shah Alam akan mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 12 jam pada 30 Mac dan 6 hingga 9 April ini.
Gangguan itu susulan kerja-kerja penyenggaraan aset utama secara berjadual oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
Air Selangor dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kerja penyenggaraan itu mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Menurutnya, ia membabitkan kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu di Persiaran Selangor Seksyen 15, Shah Alam yang bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual selama 48 jam.
“Kerja-kerja ini akan dijalankan pada 30 Mac 2021, jam 9 pagi hingga 9 malam.
“Ini akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di lima kawasan di Wilayah Petaling, 14 kawasan di Wilayah Klang dan 11 kawasan di Wilayah Shah Alam bermula jam 9 pagi, 30 Mac 2021,” menurut kenyataan Air Selangor menerusi Facebook hari ini.
Air Selangor juga memaklumkan bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 9 malam, 1 April 2021.
Menurutnya, satu lagi penyenggaraan adalah membabitkan penggantian injap di jajaran paip air mentah dari Empangan Klang Gates dan menyebabkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Bukit Nanas dan Wangsa Maju.
“Ia akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual selama 68 jam di 12 kawasan di Wilayah Gombak dan 46 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur.
“Kerja-kerja penggantian injap ini akan dilaksanakan pada 6 April 2021, jam 9 pagi hingga 9 malam. Bekalan air dijangka untuk pulih sepenuhnya pada 9 April 2021, jam 5 pagi,” katanya.
Dalam pada itu, Air Selangor juga dalam perancangan untuk melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan aset-aset utama di beberapa loji rawatan air iaitu Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 pada 15 Jun 2021, Loji Rawatan Air Sungai Langat pada 6 Julai 2021, dan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 pada 5 Oktober 2021.
“Bagaimanapun, pelaksanaan kerja-kerja berjadual ini tertakluk kepada kelulusan daripada SPAN.
“Air Selangor akan memaklumkan senarai kawasan-kawasan yang terlibat dan jadual pemulihan bekalan air dengan lebih terperinci setelah kelulusan SPAN diperoleh. Para pengguna dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh ini,” katanya.
Menurutnya, untuk maklumat lanjut dan senarai kawasan gangguan sila ke laman web Air Selangor di www.airselangor.com atau Aplikasi Air Selangor. – Malaysiapost

