Nurul Huda Abhar
TAN Sri Muhyiddin Yassin menerima kunjungan hormat Menteri Luar Negeri Singapura, Dr Vivian Balakrishnan sempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia selama dua hari bermula hari ini.
Perdana Menteri berkata dalam kunjungan itu juga membincangkan mengenai pelbagai aspek hubungan dua hala Malaysia-Singapura yang melibatkan bidang seperti perdagangan, pelaburan dan kesihatan.
“Saya juga telah mengambil kesempatan membangkitkan mengenai keadaan semasa di Myanmar dan hala tuju Asean dalam menangani krisis ini,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.
Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Singapura, Chee Wee Kiong.
Hadir bagi pihak Malaysia pula adalah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dan beberapa orang pegawai kerajaan.
Sementara itu, dalam kunjungan tersebut juga Muhyiddin menerima surat jemputan daripada Perdana Menteri Singapura untuk menghadiri Pemukiman Pemimpin Tahunan Malaysia-Singapura kali ke-10.
“Saya mengambil maklum cadangan pihak Singapura untuk menjadi tuan rumah sesi pemukiman itu dalam tahun ini selepas ditangguhkan pada tahun 2020 akibat wabak Covid-19.
“Saya dan Dr Vivian sependapat bahawa Covid-19 telah memberi cabaran baharu kepada negara masing-masing. Namun pandemik ini tidak seharusnya dijadikan halangan dalam usaha meningkatkan kerjasama sedia ada antara negara berjiran,” ujarnya.
Mengulas mengenai cadangan pengiktirafan timbal balas terhadap sijil vaksin Covid-19, Perdana Menteri menyeru agar kerjasama di peringkat teknikal melibatkan kedua-dua negara dapat diteruskan dan dimuktamadkan pada masa hadapan.
Beliau juga berharap agar beberapa sekatan berupa penangguhan terhadap pengaturan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua negara sebelum ini dapat segera ditamatkan, mengambil kira kepentingan hubungan dua hala.
Katanya, ia merangkumi pengaturan timbal balas perjalanan Reciprocal Green Lane (RGL), pengaturan perjalanan berkala Periodic Commuting Arrangement (PCA), dan pengaturan perjalanan harian Daily Commuting Arrangement (DCA).
“Di akhir perjumpaan, saya menyatakan komitmen Malaysia untuk bukan sahaja meneruskan hubungan baik yang sedia terjalin dengan Singapura, malah memperkukuhkan lagi tahap hubungan sedia ada,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

