PEMAIN tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa akan dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Ia berdasarkan bukti rakaman video dan laporan pengadil ekoran tindakannya yang menyerbu dan menyentuh pengadil selepas tamat perlawanan antara JDT dan Perak FC di Stadium Perak, Ahad lalu.
Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundram menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman web badan induk bola sepak negara tersebut.
Difahamkan, Insa bertindak agresif kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil dalam perlawanan kelima Liga Super yang berkesudahan seri 2-2.
Sementara itu Sivasundram memaklumkan secara keseluruhan prestasi pengadil dalam perlawanan tersebut memuaskan berlandaskan laporan Penilai Pengadil yang bertugas di Stadium Perak.
“Walaupun memuaskan, terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dibuat dan pengadil tersebut akan dirujuk kepada kepada Pengurus Pembangunan Pengadil FAM,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata pengadil ketika perlawanan Sabah FC menentang Terengganu FC di Stadium Likas, Ahad lalu, didapati menunjukkan prestasi yang kurang memuaskan sepanjang perlawanan.
Justeru, katanya pengadil terbabit dikenakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan selama dua minggu serta-merta.
Beliau berkata, pengadil itu juga akan dirujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil FAM untuk mengikuti program penambahbaikan prestasi sebelum kembali bertugas bermula dari liga divisyen bawah dan hanya dilantik semula sebagai pengadil Liga Super selepas prestasinya dinilai berada pada tahap memuaskan. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

