PAS mencadangkan persempadanan semula kawasan pilihan raya di beberapa negeri majoriti Melayu bagi menambah bilangan kerusi di Parlimen.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata cadangan itu sudah lama dibuat berikutan ada kawasan yang mungkin mencatatkan peningkatan jumlah pengundi dan memerlukan persempadanan semula.
“Sebab pertama persempadanan semula kerana pertambahan pengundi terutama di sebelah pantai timur iaitu Kelantan dan sebahagiannya di Kedah, Pahang dan Terengganu.
“Satu kawasan Parlimen itu, jumlah pengundinya sehingga 80,000 orang. Jadi, dari segi wakil rakyat nak menjaganya, menjadi satu beban. Sebab biasa dalam (satu kawasan Parlimen) 20,000 sehingga 30,000 orang dan paling ramai 40,000 pengundi.
“Sejak dulu, lebih 10 tahun lepas lagi, kita sudah mencadangkan ketika pemerintahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya dibuat semakan dan persempadanan semula,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.
Beliau ditemui media selepas Program Imunisasi Covid-19 Peringkat Negeri Kelantan di Kota Darulnaim di Kota Bharu yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Mohd Amar berkata PAS juga mencadangkan ditambah kerusi di kawasan negeri yang dikuasai majoriti Islam di Kelantan, Kedah, Pahang dan Terengganu.
“Ia juga dapat kita kekalkan di Parlimen (pemimpin Melayu). Cadangan ini dah lama, tetapi tidak pernah diambil kira oleh pihak kerajaan.
“Kita harap ia diberi pertimbangan sebab sekurang-kurangnya ia boleh menyeimbangkan kerusi (Melayu) di Parlimen,” katanya. – Malaysiapost

