Bandar e-sukan bakal diwujudkan di Selangor

0
3

Sharifudin Abdul Rahim

BANDAR e-Sukan bakal diwujudkan di Selangor menerusi perancangan bagi pembinaan sebuah pusat pembangunan e-sukan dengan kos sekitar RM3 juta.

Exco Pembangunan Generasi Belia, Sukan dan Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata apabila siap kelak ia akan menjadi pusat pembangunan e-sukan pertama di negara ini.

Katanya, projek itu melibatkan kerjasama dengan Majis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Persatuan E-Sports Selangor (ESS), Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Penubuhan pusat pembangunan itu selaras hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan e-sukan sebagai sukan teras,” katanya selepas pelancaran Selangor Xtiv Virtual 2021 dan Kerjasama Pembangunan e-Sport di Shah Alam, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata kemudahan itu bakal diwujudkan di tapak bekas sebuah hotel di Seksyen 13, Shah Alam.

Beliau berkata, buat masa ini, kerja ubah suai pusat berkenaan sedang dijalankan dan dijangka siap dalam tempoh lima hingga enam bulan akan datang.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, inisiatif yang dilaksanakan itu bertujuan memastikan potensi e-sukan dikembangkan secara optimum dan menjadi platform terbaik rakyat Selangor menonjolkan bakat ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, program pembangunan e-sukan akan turut diaksanakan dengan melibatkan persatuan sukan itu di setiap daerah.

“Ia antaranya program mencungkil bakat seperti ‘telecaster’ (penyiar) dan coach (jurulatih) dalam kalangan peserta,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Khairuddin berkata, program Selangor Xtiv Virtual 2021 akan diteruskan sehingga Disember dengan sasaran 450,000 penyertaan bersama hadiah terkumpul berjumlah RM411,680.

“Sasaran ini realistik memandangkan sambutan hangat diterima semasa penganjuran Selangor Xtiv Virtual pada tahun lalu yang menerima 250,631 penyertaan dan 18 juta tontonan di platform media sosial,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here