Selesai segera masalah bekalan air HRPZ II – Syed Saddiq

0
2

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengecam Kerajaan Negeri Kelantan dan Pusat kerana didakwa gagal menyelesaikan isu bekalan air di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, itu berkata kegagalan kerajaan negeri dan pusat menyediakan bekalan air bersih kepada hospital perlu dipandang serius.

“Di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kelantan, kapasiti pesakit cecah sehingga 1,000 orang, kakitangan hospital 4,000 orang. Ini belum termasuk dengan waris pesakit yang datang melawat.

“Lagi teruk apabila masalah ini dah berlaku lebih 10 tahun. Hampir setiap hari bekalan air putus ketika waktu tengahari,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Syed Saddiq berkata, respon hambar Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berhubung isu itu mengecewakan kerana masalah berkenaan sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu.

“Tidak ada rasa cemas dan terdesak dari pemerintah Kelantan untuk selesaikan masalah lebih 10 tahun ini.

“Lebih memburukkan keadaan, masalah air di hospital ini dah berlaku hampir 10 tahun. Ini bukan masalah baru atau masalah bermusim. 10 tahun adalah tempoh yang sangat lama.

“Dua penggal kerajaan Kelantan masih gagal menyediakan bekalan air bersih di negeri sendiri,” katanya.

Syed Saddiq berkata, masalah air itu akan menyebabkan operasi hospital berkenaan tergendala terutama membabitkan hal pengurusan.

“Setiap hari masa dibazirkan dari menyelesaikan isu bekalan air bersih ke hospital, makin banyak hal-hal pengurusan hospital akan tergendala.

“Nak buat pembedahan, nak basuh luka pesakit, mandi minum kakitangan hospital, bersih kawasan hospital. Semua ini memerlukan air bersih.

“Apa lagi jawapan dan harapan yang ada pada Hospital Raja Perempuan Zainab II?,” katanya.

Terdahulu, Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, masalah bekalan air membelenggu hospital itu menjejaskan operasi harian premis berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu.

Katanya, hampir setiap hari, bekalan air hanya mampu bertahan sehingga tengah hari sebelum bekalan terputus berikutan penggunaan tinggi di hospital berkenaan.

Katanya, setiap hari penggunaan air di hospital tinggi sehingga mencecah 500 gelen bersamaan 1,893 liter. Bagaimanapun katanya, bekalan air yang diterima tidak mencukupi untuk menampung keperluan penggunaan. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/22/span-bina-tangki-sedutan-atasi-masalah-bekalan-air-hrpz-ii/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here