Bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin Covid-19

0
1

KERAJAAN mengumumkan bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin Covid-19 kepada warga tempatan dan asing di negara ini, sekiranya berlaku kesan sampingan serius, hilang upaya kekal atau kematian disebabkan vaksin.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata bantuan itu melibatkan RM50,000 kepada penerima vaksin jika berlaku kesan sampingan serius hingga memerlukan rawatan berpanjangan di hospital.

Katanya, bantuan kewangan RM500,000 pula jika berlaku hilang upaya kekal atau kematian disebabkan vaksin Covid-19.

“Kerajaan bersetuju untuk menyediakan dana permulaan RM10 juta di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diurus Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi bantuan khas berkenaan,” katanya pada sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Putrajaya hari ini.

Turut sama dalam sidang media itu, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin.

Dr Adham berkata, bantuan kewangan itu merupakan langkah proaktif kerajaan untuk menghadapi kemungkinan jika berlakunya kesan sampingan (adverse effects) daripada penggunaan vaksin Covid-19.

“Selain Itu, bantuan khas ini akan dapat membantu menampung keperluan penerima vaksin dan keluarga berkemungkinan terjejas akibat kesan daripada pengambilan vaksin ini kelak,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan tiga jawatankuasa bagi memantau dan menilai kesan mudarat susulan imunisasi dan isu keselamatan yang berkaitan dengan vaksin Covid-19.

“Pertama, penubuhan Jawatankuasa Farmakovigilans Khas bagi Pemantauan Vaksin Covid-19 bagi memantau dan menilai kesan mudarat susulan imunisasi (AEFI) dan isu keselamatan berkaitan dengan vaksin.

“Kedua, Jawatankuasa Teknikal Perubatan untuk menentukan sama ada kes permohonan bantuan khas kewangan mempunyai hubung kait (causal relationship) dengan vaksin Covid-19 dimana penilaian dibuat secara case to case basis berdasarkan bukti yang diterima dan laporan Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Bagi Pemantauan Vaksin Covid-19.

“Ketiga, Jawatankuasa Induk Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19 turut dibentuk untuk memberi kelulusan bantuan khas kewangan berdasarkan keputusan kedua-dua jawatankuasa tersebut,” katanya.

Dr Adham berkata, bantuan khas kewangan akan diberi kepada penerima vaksin terkesan setelah dinilai oleh tiga jawatankuasa berkenaan dan bayaran dibuat oleh Nadma kepada penerima vaksin yang terkesan.

Sementara itu, beliau berkata, daripada 400,000 penerima vaksin, 60 peratus melaporkan keletihan dan kelesuan.

“Seramai 10 peratus mengalami bengkak dan kemerahan pada tempat suntikan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menerima laporan 50 peratus penerima vaksin mengalami sakit kepala.

“Ada yang turut mengalami sakit otot, sakit badan dan demam, namun kesan sampingan dialami penerima vaksin tidak berpanjangan.

“Ia berlaku biasanya dalam tempoh dua hari selepas menerima suntikan vaksin dan tidak membimbangkan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/21/10605-individu-lengkap-kedua-dua-suntikan-vaksin-covid-19/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here