KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memaklumkan enam faktor utama dijadikan indikator dalam membuat penilaian risiko bagi menentukan sama ada aktiviti merentas negeri dibenarkan, ketika ramai yang meluah rasa rindu untuk pulang ke kampung.
Menerusi hantaran di Facebooknya, KKM menyatakan penilaian risiko yang dibuat adalah dengan melihat situasi jangkitan semasa dan kebarangkalian penularan jangkitan menjadi lebih teruk atau sebaliknya.
Berikut enam faktor utama tersebut:
Pertama – situasi kes harian termasuk kes yang sudah sembuh dan dibenarkan pulang.
Kedua -trend dan kadar kebolehjangkitan.
Ketiga – situasi semasa iaitu kadar kematian dan jumlah kes kematian.
Keempat – keupayaan katil dan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital.
Kelima – situasi semasa petugas kesihatan yang dijangkiti.
Keenam – ujian saringan yang dijalankan di lapangan, saringan penyakit seperti influenza (ILI), jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan persampelan prapembedahan serta kemasukan ke wad.
KKM memaklumkan akan mengkaji semua data dan fakta sebelum menasihat atau mencadangkan kepada Jawatankuasa Teknikal untuk diputuskan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Penilaian risiko ini dari semasa ke semasa. Situasi semasa menunjukkan kes baharu dalam trend penurunan walaupun tidak konsisten, namun masih terlalu awal.
“Memandangkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) baru saja berjalan, aktiviti kesihatan awam adalah paling berkesan untuk melandaikan keluk jangkitan,” katanya.
Justeru, KKM meminta rakyat untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam usaha melandaikan penularan Covid-19.
“Jika kepatuhan yang tinggi kepada SOP ditunjukkan oleh kita semua ketika ini berterusan, tidak mustahil kemeriahan balik kampung untuk menyambut Aidilfitri akan dirasai tahun ini.
“Kita berusaha dan berdoa, kepada Tuhan kita berserah,” katanya. – Malaysiapost
Baru-baru ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan menunggu penilaian risiko oleh KKKM untuk menasihati sidang khas MKN sebelum membuat keputusan membenarkan pergerakan rentas negeri.
Beliau berkata, kebenaran merentas negeri pada Disember lalu menjadi punca kes Covid-19 di Malaysia meningkat dengan mendadak termasuk mencetuskan 32 kluster rentas negeri di seluruh negara. – Malaysiapost
.
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/16/ismail-sabri-akui-ramai-rindu-nak-balik-kampung/

