POLIS sudah memanggil sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kerana dilaporkan merentas negeri selepas tular gambar mereka ketika berbulan madu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata seorang ahli perniagaan telah datang bersama isterinya ke Balai Polis Wangsa Maju untuk memohon permit pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ke Johor Bahru, Johor atas urusan perniagaannya pada Isnin lalu.
Lelaki itu, katanya, mengemukakan surat arahan menjalankan tugas oleh syarikat dan berdasarkan dokumen tersebut, permohonan rentas negeri diluluskan bermula Rabu sehingga semalam.
Ashari berkata, gambar pasangan berusia lingkungan 20-an itu telah tular di media sosial sejak kelmarin, kononnya pergi berbulan madu di suatu kawasan peranginan sehingga dikecam oleh netizen.
“Netizen mempersoalkan kebenaran rentas negeri yang diberikan polis kepada pasangan ini untuk tujuan berbulan madu.
“Berdasarkan keterangan pasangan tersebut mengesahkan bahawa mereka telah menginap di sebuah resort di Johor sepanjang urusan perniagaan di sana.
“Mereka juga mengemukakan segala bukti urusan perniagaan dan resit tempat penginapan mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ashari berkata, pasangan suami isteri tersebut turut mengesahkan telah memuat naik gambar mereka di akaun Instagram milik isterinya.
“Pasangan itu menafikan berada di Pulau Perhentian, Terengganu seperti ditularkan.
“Lelaki itu telah menjelaskan hantaran yang dimuatnaik di Instagram oleh isterinya bersifat peribadi tetapi telah ditularkan di Twitter,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang mendapat kelulusan rentas negeri supaya sentiasa berhati-hati dan bertanggungjawab serta tidak menyalahgunakan kebenaran oleh polis.
“Sekiranya terdapat individu menyalahgunakan kebenaran ini, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka,” katanya. – Malaysiapost

